Norshahrul Idlan Talaha (kanan) diasak pemain Petaling Jaya City FC, Mohd Safie Mohd Sali dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
Norshahrul Idlan Talaha (kanan) diasak pemain Petaling Jaya City FC, Mohd Safie Mohd Sali dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
Asrol Awang


PAHANG sekadar mengutip satu mata apabila terikat 1-1 dengan PJ City FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan, sebentar tadi.

Pada perlawanan itu, tuan rumah yang bermula garang memberi tekanan sebaik perlawanan bermula dengan melakukan asakan yang hampir memperolehi gol pendahuluan.

Peluang terbaik hadir daripada pemain pertahanan, Mohd Faisal Rosli apabila bola sekadar melepasi palang pada minit ke-15.

Sebaliknya, PJ City yang jarang menekan kubu tuan rumah berjaya menjaringkan gol pendahuluan hasil sentuhan bekas penyerang kebangsaan, Mohd Safie Sali untuk mengecewakan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias pada minit ke-32.

Tiga minit kemudian, pemain tengah Tok Gajah, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria hampir menyamakan kedudukan tetapi bola sepakannya terkena palang.

Tuan rumah yang ketinggalan 0-1 berusaha untuk mencari gol penyamaan namun kekentalan kubu lawan menafikan peluang itu.

Namun, skuad kendalian Dollah Salleh tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 1-1 selepas empat minit bersambung pada babak kedua.

Penyerang Brazil, Jose Eduardo atau Ze Love menyempurnakan sepakan percuma yang gagal diselamatkan Mohd Muhaimin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 11:14 PM