Pemain JDT, Diogo Luis Santo (tengah) diasak pemain UiTM dalam aksi Liga Super. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Pemain JDT, Diogo Luis Santo (tengah) diasak pemain UiTM dalam aksi Liga Super. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Rizar Mohd Noor


JOHOR Darul Ta'zim (JDT) dipaksa bermandi peluh sebelum melakar kemenangan tipis 2-1 menewaskan UiTM FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Nazmi Faiz Mansor muncul penyelamat skuad Harimau Selatan selepas bola ledakan deras dari luar kotak penalti memastikan kemenangan buat juara liga enam musim berturut-turut ketika aksi babak pertama tampak seimbang dengan kedudukan 1-1 sekali gus melegakan 24,000 penyokong yang hadir ke stadium.

Agak menarik dalam perlawanan itu, apabila pengendali JDT, Benjamin Mora merehatkan Safawi Rasid selepas tidak tersenarai pada aksi menentang UiTM FC dan ia langkah tepat untuk pemain itu diberi ruang bertenang selepas dipalit dengan persembahan tidak konsisten baru-baru ini.

Tanpa Safawi, skuad Harimau Selatan masih berbisa apabila berpunca daripada bola gerakan Leandro Velazquez pada minit kesembilan yang mengumpan bola tepat kepada Diogo Luis Santo dengan pantas merembat bola leret menewaskan penjaga gol, Muhamad Nor Haziq Mohd Aris.

Bagaimanapun tuan rumah dikejutkan dengan jaringan penyamaan pelawat pada minit k-19 selepas berlaku pergelutan di dalam kotak penalti dan kesempatan itu diambil pemain pertahanan skuad Lion Troops, Victor Nirennold yang merembat bola leret menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.

Ternyata sepanjang 20 minit terakhir babak pertama, skuad Harimau Selatan tampak sukar menambah jaringan apabila corak permainan kemas anak didik Frank Bernhardt yang begitu berdisiplin mematikan gerakan berbahaya gandingan tiga serangkai Luis Santo, Gonzola Cabrera dan Nazmi Faiz Mansor.

Bersambung babak kedua, pelawat mengundang cemas pada minit ke-50 selepas bola rembatan deras Gustavo Dos Santos di luar kotak penalti terkena palang ketika Farizal sudah tertewas.

Tuan rumah terpaksa menanti pada penghujung babak perlawanan untuk menambah jaringan selepas bola umpanan Velazquez membuka ruang buat Nazmi Faiz yang merembat bola tepat ke penjuru kiri menewaskan Muhamad Nor Haziq bagi meletak skuad Harimau Selatan mendahului 2-1 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 11:10 PM