PEMAIN JDT II, Mohd Khairullah Abdul Halim (kanan) berebut bola dengan pemain Sarawak, Mohd Badrul Hisham Mohd Hussein   di Stadium MPPG, Pasir Gudang.  - FOTO Hairul Anuar Rahim
PEMAIN JDT II, Mohd Khairullah Abdul Halim (kanan) berebut bola dengan pemain Sarawak, Mohd Badrul Hisham Mohd Hussein di Stadium MPPG, Pasir Gudang. - FOTO Hairul Anuar Rahim
Rizar Mohd Noor


JOHOR Darul Ta'zim II (JDT II) memulakan kempen Kumpulan A Piala Cabaran dengan langkah kanan selepas bangkit menewaskan Sarawak 3-1 pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), sebentar tadi.

Bagaimanapun, tuan rumah tersentak seketika apabila pelawat melakar kejutan selepas berjaya meraih jaringan seawal minit keenam hasil sepakan leret Md Aziz Ramleen tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan penjaga gol, Haziq Nadzli.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad kendalian Ervin Boban menggandakan asakan memburu gol penyamaan namun peluang pada minit ke-13 menerusi umpanan Mohamad Ghaddar gagal disudahkan Nicolas Fernandez apabila bola rembatan leretnya ditangkap kemas penjaga gol, Andy Nicholas Nipen.

Skuad kendalian Ian Gillan mengundang cemas benteng tuan rumah apabila hampir menambah jaringan pada minit ke-22 selepas rembatan lencong kapten Bobby Gonzalez singgah di palang gol ketika Haziq sudah tertewas.

Tuan rumah bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-25 selepas tandukan Ghaddar berpunca daripada sepakan lintang Fazly Mazlan sempat disambar Fernandez untuk menolak bola masuk menewaskan Andy Nicholas.

Ketika aksi memasuki minit akhir babak pertama, tuan rumah kembali di depan selepas sepakan sudut Fernandez ditanduk kemas Rozaimi Abd Rahman untuk meletak skuad Merah Biru mendahului 2-1.

Skuad Bujang Senang hampir menyamakan jaringan pada minit ke-51 selepas Zahrul Nizwan Zulkeflee yang tidak dikawal merembat kencang tapi tiang gol kanan menjadi penghalang ketika Haziq sudah tertewas.

Malang buat Ghaddar yang terus kempunan mencipta jaringan apabila bola rembatannya tatkala berada di dalam kotak penalti pada minit ke-54 selepas menerima bola lorongan Fernandez terkena palang gol.

Akhirnya Ghaddar membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila menjaringkan gol pada minit ke-59 selepas menyudahkan umpanan Fernandez untuk menewaskan Andy Nicholas bagi meletak tuan rumah selesa mendahului 3-1 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 11:06 PM