FRASER juarai edisi tahun lalu.
FRASER juarai edisi tahun lalu.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Marcus Fraser mengakui tidak dapat lari daripada berdepan tekanan dalam misi mempertahankan kejuaraan Kejohanan Golf Maybank Malaysia bermula hari ini.

Mengungguli kejohanan dalam siri Jelajah Asia dan Eropah itu di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC), tahun lalu, pemain Australia itu sudah bersedia untuk cabaran baru di lapangan baru kali ini.

Kejohanan empat hari itu akan berlangsung di Kelab Golf & Country Saujana.

“Sudah pasti ada sedikit tekanan sebab kali ini kami beraksi di lapangan berbeza, jadi ia bertambah kompetitif.

“Saya amat bernasib baik dapat mempamerkan aksi terbaik tahun lalu dan kita semua tidak tahu apa yang akan berlaku kali ini.

“Anda perlu melakukan segala-galanya dengan baik untuk meraih peluang itu (meraih kejuaraan),” katanya pada sidang media semalam.

Sementara itu, pemain golf negara Gavin Green turut berharap dapat mempamerkan aksi terbaik di lapangan yang dianggapnya sangat mencabar.

“Ada beberapa lubang anda perlu meletakkan bola di atas fairway. Jika tidak, anda akan dihukum.

“Saya akan melakukan segala yang termampu. Secara jujur saya mempunyai sasaran tinggi.

“Tapi saya perlu fokus terhadap permainan sendiri terlebih dulu. Jika dapat melakukannya, pastinya saya akan dapat meraih keputusan yang baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Februari 2017 @ 8:03 AM