Penjaga gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat gagal menyelamatkan bola tandukan pemain Terengganu FC di Stadium Ismail Nasiruddin Shah. FOTO NSTP/IMRAN MAKHZAN.
Penjaga gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat gagal menyelamatkan bola tandukan pemain Terengganu FC di Stadium Ismail Nasiruddin Shah. FOTO NSTP/IMRAN MAKHZAN.
Malik Muhamad

[email protected].

Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) menamatkan kemarau kemenangan di laman sendiri selepas membelasah Melaka United (MU) 3-0 pada aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Pada awal babak pertama penyerang kedua-dua pasukan dilihat sukar menembusi benteng lawan masing-masing dengan bola banyak berlegar di kawasan tengah.

Skuad Hang Tuah yang mula mendapat rentak memperolehi sepakan percuma pada minit kelapan yang diambil kapten, Safiq Rahim namun bekas pakar sepakan percuma skuad kebangsaan itu gagal melakukan hantaran dengan baik.

Skuad Penyu mendominasi permainan hampir di depan pada minit ke-11 melalui kuisan pemenang Kasut Emas 2010, Ashari Samsudin tapi sudah dapat dibaca penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Percubaan itu bagaikan memberi isyarat awal kebangkitan skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim yang setakat ini belum merakam sebarang kemenangan di laman sendiri selepas tiga perlawanan.

Hasil sepakan sudut Lee Tuck, pemain pertahan TFC, Nasrullah Hanif Johan tidak melepaskan peluang untuk meledak jaringan pertama menerusi tandukan menarik pada minit ke-23 yang gagal diselamatkan Khairul Fahmi untuk skuadnya mendahului 1-0.

Dua minit berselang pemain tinggi lampai MU, Anselmo Arruda terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan apabila peluang yang dimilikinya melalui sepakan berjaya ditampan penjaga gol, Mohd Suffian Rahman yang memakai lilitan kapten menggantikan Kipre Tchetche.

Pemain TFC yang dilihat kian bernafsu untuk mencipta kemenangan pertama di arena sendiri berjaya menjarakkan kedudukan menerusi rembatan menarik pemain tengah kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakmedov pada minit ke-41 untuk mendahului 2-0.

Lebih menarik gol kedua skuad Penyu yang dijaringkan pemain yang digelar 'Salah Ganu' itu adalah gol pertama peribadinya musim ini selepas bijak mengelecek pemain pertahanan MU, Jang Sukwon dalam kotak penalti.

Bersambung babak kedua taktikal pemain MU kendalian Zainal Abidin Hassan sedikit berubah dengan kerap melancarkan serangan dari kedua-dua arah kiri dan kanan, namun peluang yang diperolehi Nazrin Nawi di sebelah kiri pintu gol gagal disudahkan dengan jaringan pada minit ke-57.

Ketika lawan kerap menyerang, pemain gantian Ahmad Syamim Yahya masuk menggantikan Malik Mat Ariff bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum melambung bola dari luar kotak penalti terus menerjah jaring gol untuk mengukuhkan kedudukan 3-0 hingga tamat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 11:23 PM