KONATE (kiri) mengasak pemain UiTM FC, Alif Najmi. FOTO Ghazali Kori
KONATE (kiri) mengasak pemain UiTM FC, Alif Najmi. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) bangkit daripada episod duka minggu lalu selepas berjaya menumpaskan pasukan di tangga tercorot Liga Super, UiTM FC 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam ini.

Dengan kemenangan itu skuad kendalian Nafuzi Zain kembali menghuni tangga kedua liga dengan mengutip 24 mata.

Dalam perlawanan pertama pusingan kedua itu, skuad Penyu yang melakukan rombakan kesebelasan utamanya tidak menunggu lama apabila mendahului The Lions Troops 1-0 menerusi sepakan leret David Da Silva pada minit ketujuh.

Jaringan itu berpunca hantaran pemain sayap, Faisal Halim dari tengah padang sebelum pemain kelahiran Brazil itu memperdaya tiga pertahanan pelawat sebelum menewaskan penjaga gol, Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri.

Belum sempat pelawat memperkemaskan pertahanannya, gawang skuad kendalian Frank Bernhardt itu bocor lagi pada minit kesembilan melalui tandukan tajam Faisal selepas menerima umpanan Mohamad Hakimi Abdullah dari sebelah kanan pintu gol.

Skuad Penyu yang lebih banyak mendominasi permainan hampir menambah jaringan ketiga pada minit ke-21, mujur sepakan Makan Konate sempat ditepis penjaga gol sekali gus terselamat kubu pelawat.

Pelawat yang menyenaraikan dua import baharu, Ousman Fane dari Perancis dan pemain Timor Leste, Joa Da Silva Freitas memperolehi peluang terbaik merapatkan kedudukan pada minit ke-28 menerusi rembatan padu Da Silva Freitas, namun penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin bertindak cemerlang menafikan percubaan itu.

TFC yang bagaikan kemaruk gol memperolehi tiga lagi peluang terhidang tapi gagal disudahkan Hakimi minit ke-30, Konate (m-39) dan Muhamad Hafizal Mohamad (m-45) yang hanya berdepan dengan penjaga gol.

Bersambung babak kedua, UiTM tampil lebih agresif selepas memasukkan tiga tenaga baharu, Mohd Khairul Rizam, Mohamad Shafiq dan Ahmad Khuzaimi Piee, namun dua percubaan menarik gagal memecah kebuntuan gol selain kekentalan benteng pertahanan tuan rumah.

Berbekalkan sorakan padu 1,200 peminat setia, TFC berjaya menambah jaringan ketiga menerusi rembatan deras dari dalam kotak penalti pemain gantian, Mohammad Rahmat Makasuf pada minit ke-75 untuk menjadikan kedudukan 3-0 hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 12:14 AM