Pemain JDT, Gonzalo Cabrera (kanan) meraikan jaringan pertama bersama rakan sepasukan mengatasi Terengganu. FOTO NSTP/MOHD AZREN JAMALUDIN
Pemain JDT, Gonzalo Cabrera (kanan) meraikan jaringan pertama bersama rakan sepasukan mengatasi Terengganu. FOTO NSTP/MOHD AZREN JAMALUDIN
Rizar Mohd Noor


JOHOR Darul Ta'zim (JDT) menepati ramalan untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas mudah menjinakkan Terengganu FC (TFC) 4-1 pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Kemenangan itu yang menyaksikan skuad bimbingan Benjamin Mora yang dengan agregat 5-1 dan pasukan pertama layak ke separuh akhir.

Mereka akan menanti pemenang perlawanan antara Perak atau Selangor pada aksi 19 Oktober ini.

Malah lebih manis kemenangan itu menebus kehampaan yang dialami skuad Harimau Selatan selepas disingkirkan TFC 2-3 secara agregat pada separuh akhir piala berprestij musim lalu.

Dalam aksi malam tadi, dua percubaan berbahaya menerusi Safawi Rasid seawal minit keenam dan disusuli seminit kemudian mengundang cemas gawang pelawat namun bola masih belum mampu menerjah jaring.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil Zulkarnain Zakaria selepas mengesan pemain TFC menolak Corbin Ong di dalam kotak penalti m-16.

Gonzalo Cabrera menyempurnakan sepakan penalti apabila merembat kencang tepat ke penjuru kanan gawang menewaskan penjaga gol, Muhamad Ilham Amirullah Razali untuk meletak skuad Harimau Selatan mendahului 1-0 dan selesa dengan agregat 2-0.

Selepas gagal melakukan sentuhan penyudah di awal perlawanan, ia tidak menghalang Safawi untuk terus berusaha dan akhirnya m-22, dia mencetak nama selaku penjaring selepas meledak bola sepakan percuma tepat ke penjuru kanan menewaskan Muhamad Ilham Amirullah.

Safawi bagaikan `dirasuk' dalam perlawanan itu apabila meledak gol kedua peribadi m-36 selepas menyudahkan bola sepakan lambung Diogo Santo untuk meletak skuad Harimau Selatan selesa dengan kedudukan 3-0 dan secara agregat 4-0.

Tuan rumah memastikan skuad Penyu `menangis' di Larkin apabila bagai merelakan gol terhasil skuad Harimau Selatan m-39 berpunca daripada gerakan Corbin yang pantas melintangkan bola sebelum mudah disudahkan Cabrera.

Bagaimanapun pelawat tidak berputus asa tatkala aksi berbaki seminit untuk ditamatkan pada babak pertama, pemain tengah skuad Penyu, Lee Tuck menjaringkan gol selepas merembat bola tepat ke penjuru kanan menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.

Sepanjang aksi babak kedua, pelawat cuba untuk menambah jaringan namun segala serangan berbahaya bingkas dihalang benteng skuad Harimau Selatan menerusi kombinasi Aidil Zafuan Abd Radzak dan Mauricio Nascimento dan kedudukan agregat 5-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 11:11 PM