FERNANDINHO terduduk kesakitan  selepas dikasari pemain Chelsea.  - FOTO Reuters
FERNANDINHO terduduk kesakitan selepas dikasari pemain Chelsea. - FOTO Reuters
Reuters

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola akui berdepan tamparan hebat selepas tamat final Piala Liga di Wembley awal pagi tadi apabila kehilangan dua tonggak penting bagi menghadapi saingan domestik dan Liga Juara-Juara.

Pertahanan Aymeric Laporte dan pemain tengah Fernandinho terpaksa digantikan dan Guardiola berkata mereka dijangka tidak dapat beraksi pada saingan peringkat kedua pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara di tempat sendiri pada 12 Mac menentang kelab Jerman, Schalke.

Menurutnya lagi, City yang muncul juara selepas menewaskan Chelsea 4-3 melalui penentuan penalti selepas seri 0-0 pada tambahan masa, pasti letih dalam misi mengejar pendahulu Liga Perdana, Liverpool. Mereka menerima kunjungan West Ham United pada Rabu ini.

Guardiola berkata, pencabar lain dalam Liga Juara-Juara tidak beraksi dalam dua saingan trofi tempatan dan tekanan mula dirasai pemainnya.

"Saya kagum dengan pemain saya yang beraksi perlawanan demi perlawanan tanpa mengalami kecederaan tetapi akhirnya ia berlaku juga,” katanya.

Manchester City masih lagi berentap dalam saingan Piala FA. Mereka akan menentang Swansea City dalam aksi suku akhir bulan depan selain memburu Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.

Mengenai keputusan perlawanan Liverpool menentang Manchester United yang berkesudahan seri tanpa jaringan, Guardiola berkata ia tidak menggusarkanya kerana The Reds kini hanya mendahului mereka dengan satu mata.

"Ya, bagaimanapun mereka masih mendahului dan kekal pilihan,” kata Guardiola..

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 7:26 AM