GUARDIOLA mahu lebih cemerlang bukan hanya setakat mengalahkan Real. FOTO Agensi
GUARDIOLA mahu lebih cemerlang bukan hanya setakat mengalahkan Real. FOTO Agensi
AFP

MANCHESTER City akhirnya memperoleh kemenangan meyakinkan di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara selepas menyingkirkan Real Madrid untuk mara ke suku akhir.

Bagaimanapun, mereka mahukan lebih lagi kejayaan di Lisbon sehingga minggu depan dengan Pep Guardiola menegaskan bahawa mereka tidak boleh berpuas hati hanya setakat mengalahkan juara 13 kali itu.

"Kami datang ke sini adalah untuk cuba memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara. Jika kami fikirkan menewaskan Real sudah cukup ia akan menunjukkan betapa kami sangat kerdil. Jika mahu juara kita harus mengalahkan kelab gergasi," kata Guardiola.

Ia mengambil masa lapan musim di Liga Juara-Juara bagi mengalahkan bekas juara itu dalam kedua-dua perlawanan menunjukkan kematangan dan kemampuan dalam mengawal tekanan tatkala itu adalah kekurangan yang ada kepada anak buah Guardiola ketika aksi sebelum ini.

Pertembungan dengan Lyon, yang menamatkan saingan liga di tangga ketujuh membolehkan City berasa lebih optimis.

Bagaimanapun, tiga musim sebelum ini sejak Guardiola tiba di Manchester, City diletakkan sebagai pasukan pilihan namun tetap tersingkir di tangan AS Monaco, Liverpool dan Tottenham.

"Saya baru saja bersembang dengan ejen pemantau mengenai Lyon dan mereka memberitahu saya bahawa perlu berhati-hati," kata Guardiola selepas Lyon berjaya mengejutkan Juventus pada aksi 16 akhir.

Kelab Perancis itu juga sudah membuktikan kemampuan dengan mencuri empat daripada enam mata ketika berdepan City dalam perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 2:02 PM