STERLING (kanan) mengatasi penjaga gol Schalke, Ralf Fahrmann bagi memastikan kemenangan Manchester City di Gelsenkirchen, awal pagi tadi. - FOTO Reuters
STERLING (kanan) mengatasi penjaga gol Schalke, Ralf Fahrmann bagi memastikan kemenangan Manchester City di Gelsenkirchen, awal pagi tadi. - FOTO Reuters
AFP

RAHEEM Sterling memastikan kemenangan dramatik 3-2 Liga Juara-Juara buat Manchester City yang beraksi 10 pemain di Schalke awal pagi tadi ketika juara Inggeris itu meledak dua gol dalam lima minit terakhir.

Sterling menyumbat gol kemenangan di Arena Veltins pada minit ke-90 sebaik selepas pemain gantian Leroy Sane merembat masuk sepakan percuma memukau buat pendahulu Liga Perdana Inggeris itu menentang bekas kelabnya pada aksi pertama, pusingan 16 terakhir.

“Saya menanti peluang saya dan mahu merembat dari sana kerana sebelum ini saya menjaringkan gol dari posisi itu dan ia mengembalikan keyakinan kami,” kata Sane kepada penyiar televisyen DAZN selepas gol penyamaan itu.

Schalke mendahului 2-1 ketika rehat dengan penolong pengadil video (VAR) dua kali mencelah untuk menganugerahkan penalti, kedua-duanya disempurnakan Nabil Bentaleb, sekali gus memadamkan gol pembukaan Sergio Aguero di Gelsenkirchen.

SEPAKAN percuma Sane (kanan) melepasi benteng pertahanan Schalke dan menerjah jaring bagi gol kedua City. - FOTO Reuters
SEPAKAN percuma Sane (kanan) melepasi benteng pertahanan Schalke dan menerjah jaring bagi gol kedua City. - FOTO Reuters

City berdepan kesukaran dengan berbaki 22 minit apabila Nicolas Otamendi, yang memberikan penalti kontroversi pertama, dibuang padang kerana kad kuning kedua sebelum saat cemerlang Sane dan gol kemenangan Sterling.

“Kami tidak akan pergi jauh dalam pertandingan ini kecuali kami meningkat,” kata pengurus City, Pep Guardiola.

“Akhirnya kualiti Sane dan Sterling menjadi pemisah.”

Bagaimanapun, City masih perlu bekerja keras pada aksi timbal balik 12 Mac depan dengan Fernandinho, yang dilayangkan kad kuning apabila memberikan sepakan penalti kedua dan Otamendi kedua-duanya digantung perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 7:31 AM