CABALLERO menangkap kemas bola rembatan pemain Monaco.
CABALLERO menangkap kemas bola rembatan pemain Monaco.
AFP

Manchester, England: Pep Guardiola berjanji Manchester City akan terus berjuang hebat selepas mereka mengatasi AS Monaco 5-3 pada perlawanan pertama, pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

City menghasilkan kelebihan dua gol selepas perlawanan pertama yang menarik di Stadium Etihad awal pagi semalam apabila mereka bangkit daripada ketinggalan 1-2 dan 2-3 sebelum melakar kemenangan.

Gol Monaco mendedahkan kelemahan ketara di benteng pertahanan City, namun sekalipun Guardiola mengakui pasukannya perlu mengukuhkan benteng, beliau menyatakan mereka akan bertandang ke Stade Louis II dengan hasrat untuk menyerang.

“Mereka akan menyerang lebih kerap dan kami perlu bertahan dengan baik. Tapi, kami mempunyai peluang,” ujar pengurus City itu.

“Kami akan berkunjung ke Monaco untuk menjaringkan sebanyak gol mungkin. Kami tidak akan mempertahankan keputusan itu.

“Kami lebih memahami antara satu sama lain. Kami akan mengubah suai beberapa perkara, begitu juga mereka tapi kami perlu menjaringkan gol. Jika kami tidak menjaringkan gol di Monaco, kami akan tersingkir.”

Raheem Sterling meletakkan City di depan pada minit ke-26 berikutan larian cemerlang Leroy Sane namun kesilapan penjaga gol Willy Caballero yang tersalah sepak membantu Monaco menyamakan kedudukan menerusi tandukan Radamel Falcao.

Nicolas Otamendi kemudian dipersalahkan kerana gol kedua Monaco yang dijaringkan Kylian Mbappe dan kemudian menghadiahkan lawan sepakan penalti sebelum Caballero menyelamatkan percubaan Falcao.

Sergio Aguero dan Falcao kemudian silih berganti menjaringkan gol, Aguero mendapat faedah berikutan kesilapan penjaga gol Monaco Danijel Subasic, Falcao menyumbat gol menerusi lambungan menakjubkan sebelum City bangkit mencatat kemenangan.

Aguero merembat voli sepakan sudut David Silva untuk menjadikan kedudukan 3-3 pada minit ke-71 dan gol selanjutnya daripada John Stones dan Sane membolehkan anak buah Guardiola selesa menjelang aksi kedua.

Aguero dilayangkan kad kuning selepas sengaja menjatuhkan diri ekoran dicabar Subasic pada babak pertama namun Guardiola enggan membincangkan mengenai insiden itu apabila menjerit: “Soalan berikutnya!”

Aguero hanya kembali dalam kesebelasan utama kerana kecederaan dialami Gabriel Jesus, namun menafikan tanggapan hubungannya dengan Guardiola dingin.

“Hakikatnya kami amat baik,” jelas penyerang Argentina itu.

“Apa yang beliau mahukan, mengatasi segala-galanya, daripada semua pemain supaya kami menekan lebih lagi. Beliau sering meminta lebih, lebih dan lebih lagi.

“Jelas, ia satu pengorbanan yang perlu saya dan pasukan lakukan... mujurlah malam ini semuanya menjadi.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 7:34 AM