JONES (kanan) menandatangani kontrak baharu bersama Red Devils sehingga 2023. FOTO Getty Images
JONES (kanan) menandatangani kontrak baharu bersama Red Devils sehingga 2023. FOTO Getty Images
Agensi

MANCHESTER: Penyokong Manchester United meluahkan rasa tidak puas hati mereka selepas Phil Jones, 26, ditawarkan kontrak baharu selama empat tahun.

Bek tengah England itu sering diturunkan sejak pengendali sementara Ole Gunnar Solskjaer mengambil alih kelab itu dan diberikan kontrak baharu hari ini.

Bagaimanapun segelintir penyokong tidak boleh menerima keputusan kelab itu, menjadikan media sosial sebagai sasaran kemarahan mereka.

“Baiklah, ia benar-benar merosakkan hujung minggu saya,” tulis seorang peminat manakala seorang lagi membalas ciapan laman rasmi United itu dengan komen ‘kelab main-main’.

Malah ada yang mengulas lebih mendalam mengenai berita itu dan berkata: “Kontrak baharu empat tahun untuk apa sebenarnya? Bagaimana pemain sederhana seperti ini masih ada di kelab, benar-benar memalukan.”

“Jujurnya saya berharap semua ini akan bernilai apabila dia dijual tidak lama lagi,” ciap seorang lagi peminat.

“Bukan mahu menyinggung tetapi dia hanya akan cergas untuk 12 perlawanan dalam tempoh empat tahun.”

United mempunyai pilihan untuk melanjutkan kontrak baharu untuk setahun berikutnya jika mereka mahu. Kontraknya ketika ini dijangka tamat musim panas ini.

Jones beraksi dalam 208 perlawanan bersama United dan menjaringkan lima gol sejak tiba dari Blackburn Rovers pada 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 10:30 PM