Pemangku Presiden MGF, Kau Git Kaur
Pemangku Presiden MGF, Kau Git Kaur
Jumiati Rosly


KUALA LUMPUR: Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) akan mempunyai kepimpinan Exco baru bagi membangunkan sukan itu ke tahap lebih tinggi.

Pemangku Presiden MGF, Kau Git Kaur berkata, beliau dimaklumkan ada calon presiden yang lebih bagus untuk memimpin badan induk gimnastik itu pada mesyuarat agung tahunan, 23 Februari depan.

“Saya tak boleh maklumkan lagi siapa beliau (calon presiden) tapi beliau seorang yang amat muda dan berkebolehan. Saya tak mahu bertanding (jawatan presiden) kerana saya rasa calon itu lebih bagus untuk memimpin MGF, yang mana saya yakin beliau boleh membawa perubahan kepada masa depan gimnastik di negara ini.

“Perubahan itu nanti bukan sekadar di peringkat induk saja tapi badan gabungan di negeri juga diharap akan bekerjasama membangunkan sukan ini,” katanya kepada Sukan NSTP.

Berpengalaman lebih 40 tahun dalam sukan gimnastik bermula sebagai atlet, Git Kaur berkata, beliau tetap akan bersama-sama membangunkan sukan gimnastik dengan menggunakan pengalaman luasnya.

“Apa yang saya tahu, saya mungkin dikekalkan sebagai Timbalan Presiden berdasarkan pengalaman saya sebagai bekas atlet, pengadil dan seorang usahawan. Saya tahu cara bagaimana untuk membantu persatuan,” katanya.

Beliau berkata, tidak mustahil sukan gimnastik boleh lebih terkenal dan mencapai lebih banyak kejayaan dalam tempoh lapan hingga 10 tahun lagi jika ada kerjasama erat badan gabungan dan juga kerja keras kepimpinan baru.

Git Kaur kini memangku tugas presiden yang ditinggalkan Datuk Jaya Al Bakri yang dipilih pada AGM 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 7:02 PM