RACHEL dilantik menjadi Presiden MGF untuk penggal 2019-2021 pada Februari tahun lalu.
RACHEL dilantik menjadi Presiden MGF untuk penggal 2019-2021 pada Februari tahun lalu.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) bersedia menjadi orang tengah bagi menyelesaikan kemelut dalaman yang melanda Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) ketika ini.

Pesuruhjaya Sukan, Prof Madya Dr Wirdawati Mohd Radzi berkata, beliau bersedia memberi cadangan bagi menamatkan perbalahan antara ahli gabungan badan induk berkenaan dengan Presiden MGF Rachel Lau.

Beliau menegaskan isu berkenaan boleh dibawa oleh ahli gabungan MGF kepada Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan kepimpinan Rachel.

''Saya sarankan kepada pihak terbabit memberi ruang kepada MGF untuk selesaikan kemelut dalaman dan urus tadbir mereka kerana saya difahamkan isu ini akan dibicarakan di mahkamah.

''Sekiranya ada perkara tidak boleh dicapai secara mediasi (antara kedua-dua pihak), kita boleh menjadi orang tengah untuk dua pihak bertelagah ini bertemu bagi menyelesaikan masalah," katanya.

Sebelum ini, tujuh ahli gabungan menyatakan usul hilang kepercayaan terhadap Rachel kerana mendakwa bekas gimnas kebangsaan itu menyalahguna kuasa serta gagal menguruskan MGF dengan baik dan berkesan.

Tujuh ahli gabungan itu adalah Pulau Pinang, Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Sarawak, Melaka dan Terengganu.

Mereka dilaporkan menyerahkan surat ditandatangani perwakilan negeri kepada Setiausaha Kehormat MGF, Afrita Ariany Nasril bagi menggesa diadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) secepat mungkin.

Rachel dilantik sebagai presiden MGF untuk penggal 2019-2021 pada Februari tahun lepas apabila menang tanpa bertanding selepas bekas presiden Datuk Jaya Al Bakri tidak mempertahankan jawatannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 7:07 PM