AHMAD Samsuri (tengah) pada Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain TFC 2019 di Gong Badak, Kuala Nerus. -Foto ROZAINAH ZAKARIA
AHMAD Samsuri (tengah) pada Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain TFC 2019 di Gong Badak, Kuala Nerus. -Foto ROZAINAH ZAKARIA
Malik Muhamad


KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM25 juta bagi membiayai lima pasukan termasuk Terengganu FC (TFC) untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagaimanapun menyatakan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) tetap akan berbelanja secara berhemah.

Beliau yang juga presiden PBSNT mengharapkan peruntukan itu mampu menyuntik semangat pemain, sekali gus dapat membawa pulangan bermakna bukan hanya kepada pasukan utama (TFC), tetapi juga kepada empat lagi pasukan.

“Jumlah perbelanjaan itu kami lihat lebih kurang sama dengan negeri lain dan kami akan pastikan ia mendapat pulangan baik dari segi pencapaian pasukan,” katanya selepas majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain di Stadium Tertutup Gong Badak, malam tadi.

Majlis pelancaran jersi dan memperkenalkan pemain TFC dan pasukan ‘adik’ termasuk TFC II, TFC III dan TFC IV berlangsung penuh gemilang.

Musim ini TFC beraksi dengan jersi melambangkan warna bendera negeri iaitu putih bagi perlawanan di tempat sendiri manakala jersi hitam di tempat lawan.

Pada majlis itu, PBSNT turut memperkenalkan pemain import baharu TFC, Sanjar Shaakhmedov dan empat import musim lalu Kipre Tchetche, Lee Tuck, Thierry Chantha Bin dan Igor Zonjic serta pemain import TFC II iaitu Bruno Suzuki, Akanni Sunday Wasiu dan Dechi Marcel.

Musim ini Terengganu menyasarkan kejuaraan Piala Malaysia, mara ke perlawanan akhir Piala FA dan ketiga terbaik dalam saingan Liga Super selepas sekadar naib juara Piala Malaysia dan kelima Liga Super musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 1:02 PM