Bekas pengendali pasukan Piala Presiden Terengganu, Badrul Afzan Razali (tengah) di jangka mengemudi pasukan TFC II. FOTO Malik Muhamad
Bekas pengendali pasukan Piala Presiden Terengganu, Badrul Afzan Razali (tengah) di jangka mengemudi pasukan TFC II. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kejayaan membawa pasukan Terengganu FC II (TFC II) menghuni di kedudukan kedua Liga Perdana musim ini belum cukup buat bekas pengendali skuad The Turtles itu, Roshadi Wahab untuk terus kekal membimbing pasukan itu.

Ini kerana kerusi jurulatih pasukan itu bakal bertukar tangan apabila Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) melakukan rombakan kecil dan sudah mempunyai calon lain untuk mengisi jawatan itu bagi mengharungi kancah liga divisyen dua musim depan.

Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim memaklumkan jawatan ketua jurulatih skuad TFC II itu sudah diputuskan pihak pengurusan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Ada rombakan kecil membabitkan barisan kejurulatihan TFC II kerana kita mahu buat penyusunan semula pasukan menghadapi saingan Liga Perdana dan Piala Cabaran musim depan.

"Pengendalinya kita sudah putuskan tapi tidak boleh umumkan lagi, tunggu masa yang sesuai kita akan maklumkan," katanya.

Difahamkan bekas jurulatih pasukan Piala Presiden Terengganu musim ini, Badrul Afzan Razali bakal dilantik mengetuai pasukan 'feeder club' itu bagi menggantikan Roshadi.

Dalam perkembangan lain, Hishamuddin menjelaskan hanya tiga pemain import akan menyarung jersi pasukan TFC II pada 2021 berbanding empat tonggak import musim ini.

"Pihak pengurusan sudah bersetuju untuk menggunakan hanya tiga tonggak import bertujuan memberi lebih banyak peluang kepada pemain muda tempatan untuk memperagakan aksi bersama pasukan TFC II.

"Jadi peranan pasukan TFC II ini bersama pemain import pertama adalah sebagai 'back-up' kepada pasukan TFC dan kedua mereka (pemain import) sebagai pembimbing kepada pemain tempatan dalam pasukan itu.

"Setakat ini Argzim Redzovic dan Jordan Mintah dikekalkan, hanya seorang sahaja lagi pemain import baharu yang akan dibawa masuk pasukan," katanya.

Musim lalu Roshadi yang memikul tugas selaku penolong jurulatih kepada Tengku Hazman Raja Hassan dalam pasukan itu hanya menamatkan liga di kedudukan keempat berbanding kedua musim ini sekali gus menyaksikan petunjuk prestasi utama pasukan itu tercapai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 5:41 PM