Shahriffuddi Ariffin. FOTO Syarafiq Abd Samad.
Shahriffuddi Ariffin. FOTO Syarafiq Abd Samad.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Nama Shahriffuddin Ariffin mungkin masih asing dalam arena golf tempatan namun pemain berbakat berusia 19 tahun itu sudah mempunyai cita-cita besar untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malah Shahriffuddin juga tidak gentar untuk meletakkan sasaran melepasi cut pada Kejuaraan Maybank di Saujana Golf & Country Club bermula 21 Mac depan meskipun bakal tampil kali pertama di pentas berprestij itu.

Shahriffuddin antara 13 pemain tempatan yang akan berentap di kejohanan berpestij itu diketuai sensasi negara, Gavin Kyle Green.

Kejohanan menawarkan hadiah keseluruhan AS$3 juta (RM 12.4 juta) itu seperti tahun lalu turut membariskan 60 pemain terbaik masing-masing daripada Jelajah Asia dan Eropah selain 15 pemain yang berada dalam kelompok 150 terbaik dunia.

"Saya berharap dapat beraksi dengan baik dan melepasi cut walaupun kali pertama beraksi di kejohanan ini.

"Tidak dinafikan ada perasaan gementar apabila turun beraksi dengan pemain ternama dunia lain tetapi sebagai pemain saya perlu yakin dan meletakkan sasaran sendiri.

"Biasanya saya akan membaca doa sebelum bermulanya saingan untuk memberi tambahan keyakinan di dalam diri," katanya ketika ditemui semalam pada majlis memperkenalkan barisan 13 pemain tempatan yang akan mengibarkan cabaran Malaysia dalam kejohanan yang mendapat pengiktirafan Jelajah Eropah dan Asia itu.

Pemain yang bertukar status profesional pada 2014 itu berkata, banyak lagi kejohanan antarabangsa yang bakal disertainya selepas ini dalam usaha untuk memenuhi impian beraksi di Sukan Olimpik.

"Memang itu antara impian saya. Jika saya terus fokus dan bekerja keras, tak mustahil impian itu akan tercapai juga," katanya.

Mengulas bagaimana berputiknya minat untuk bermain golf, Shahriffuddin yang memenangi Jelajah Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM) selama dua tahun berturut-turut berkata, ia berpunca daripada bapanya, Ariffin Omar.

"Dulu ayah adalah kedi di lapangan ini dan saya mula berjinak-jinak pada usia 5 tahun. Kini saya bakal beraksi di lapangan sama di pentas yang lebih besar," katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 4:25 PM