Oleh Esme Johari Wahab

Kuala Lumpur: Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank (MMO) 2015 berakhir kelmarin memberi penanda aras baru terhadap barisan pemain profesional dan amatur negara untuk menyerlah pada kejohanan bertaraf tinggi.

Danny Chia dan pemain amatur, Gavin Green mena
matkan saingan di tempat ke-25 yang turut disertai Sukree Othman, Nicholas Fung dan R Nachimuthu berada dalam kelompok 73 pemain bertarung pada dua hari terakhir di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC), Bukit Kiara.

Bagi Danny, 44, kedudukan diraih menjadikannya lebih matang biarpun gagal mengulangi pencapaian terbaiknya, tempat ke-11 pada 2009.

Lima pemain itu melepasi ‘cut’ dalam kalangan 156 pemain beraksi merebut hadiah kemenangan keseluruhan AS$3 juta (RM10.9 juta) tajaan Maybank berbanding AS$2.75 juta (RM8.8 juta) tahun sebelumnya.

Kejohanan itu turut menampilkan pemain veteran Shaifubari Muda serta Mohd Iylia Jamil, 24, abangnya, Hans Jamil, 27, dan pemain termuda, Galven Green, termasuk Shaaban Hussein dan Arie Fauzi yang menyaksikan 22 pemain profesional dan amatur negara bertarung.

Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank menyediakan pentas terbaik pemain profesional tempatan meraih mata ranking dunia yang diambil kira pada penghujung tahun bagi menentukan negara dan individu layak beraksi pada Sukan Olimpik Rio 2016.

MMO turut menawarkan kedudukan tertinggi buat pemain golf Malaysia dalam kejohanan anjuran bersama antarabangsa Jelajah Eropah dan Jelajah Asia.

“Saya gembira dengan permainan dipamerkan pada kejohanan ini. Saya masih perlu bekerja keras terutamanya mendapatkan garisan hala tuju pada petak tee off.

“Apapun, ini kejayaan kedua melepasi cut selepas melakukan pencapaian sama di MMO tahun lalu,” kata Nicholas. “Memang impian saya menjadi pemain golf profesional dalam usia muda”.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 6:34 AM