ONG Kim Swee ketika sesi latihan skuad B-23 pada 9 Januari lalu. FOTO arkib NSTP
ONG Kim Swee ketika sesi latihan skuad B-23 pada 9 Januari lalu. FOTO arkib NSTP
Mohd Fitrie Muhamad


SEPANG: Ketua Jurulatih skuad Bawah 23 tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee berharap dapat menyenaraikan skuad terkuat bagi mengharungi kempen Kejuaraan B-22 AFF 2019 di Kemboja, pada pertengahan bulan depan.

Kim Swee mahu menggunakan sepenuhnya peluang itu sebagai pentas penilaian akhir sebelum beraksi di Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020, yang dijadualkan berlangsung pada 22 hingga 26 Mac ini.

"Memang saya harap semua pemain (terbaik) dapat ke pertandingan AFF. Ia begitu penting kerana dua minggu selepas pertandingan itu, kita akan beraksi di pertandingan AFC.

"Tetapi, saya juga harus fikir mengenai mereka yang terbabit dengan liga termasuk pemain JDT yang akan beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia.

"Jadi saya kena buat pertimbangan sewajarnya sebelum memutuskan siapa yang akan dipanggil," katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Bangkok, Thailand, hari ini.

Ketika di Bangkok, anak buah Kim Swee mengharungi tiga aksi persahabatan yang berkesudahan dengan tiga kekalahan, bermula kalah 0-2 kepada BH Pathum United, Army United (1-3) dan Ayutthaya United (5-7).

Mengulas prestasi pemain yang menyertai latihan di Bangkok, Kim Swee akur masih banyak penambahbaikkan perlu dilakukan dalam tempoh sebulan sebelum ke Kejuaraan B-22, 17 Februari ini.

"Kalau ikutkan statistik, boleh katakan hanya separuh daripada mereka yang ke Bangkok mencapai prestasi memuaskan.

“Secara keseluruhan, walaupun ada peningkatan tetapi saya tetap tidak berpuas hati kerana pemain mempamerkan aksi tidak konsisten.

"Sebab itu Kejuaraan AFF begitu penting untuk saya mengumpulkan barisan terbaik untuk menilai kekuatan sebenar pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 7:44 PM