LIEW Daren ditemuramah selepas menarik diri akibat kecederaan sebelum perlawanan separuh akhir Malaysia Masters 2019. FOTO Luqman Hakim Zubir
LIEW Daren ditemuramah selepas menarik diri akibat kecederaan sebelum perlawanan separuh akhir Malaysia Masters 2019. FOTO Luqman Hakim Zubir
Helmi Talkah

 

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Liew Daren membuat keputusan menarik diri daripada aksi separuh akhir Masters Malaysia yang berlangsung hari ini.

 

Pemenang pingat gangsa Kejohananan Dunia 2018 itu terpaksa membuat keputusan itu selepas mengalami kecederaan di bahagian tapak kaki kiri.

 

Kecederaan itu dialami sejak perlawanan suku akhir bertemu pemain nombor dua dunia dari China, Shi Yuqi.

 

“Apabila bangun pagi tadi, saya berasa sangat sakit di bahagian tapak kaki sehingga menyukarkan untuk saya berjalan. Selepas memanaskan badan pun saya masih rasa sakit dan saya buat keputusan tarik diri.

“Saya mohon maaf kepada semua penyokong yang hadir ke stadium bagi memberi sokongan kerana terpaksa buat keputusan ini. Ini sesuatu yang tidak dapat saya elakkan,” kata Daren.

 

Situasi berkenaan menyaksikan lawan Daren di separuh akhir, Son Wan Ho dari Korea Selatan diberi kemenangan percuma sekali gus layak ke pentas final.

Daren turut memaklumkan dia juga masih belum pasti dapat beraksi pada saingan Masters Indonesia yang akan bermula Selasa ini.

 

“Sepatutnya saya akan berlepas ke Indonesia esok, tetapi dengan kecederaan ini saya perlu melakukan pemeriksaan terlebih dahulu dan melihat perkembangannya nanti,” katanya.

 

Daren cemerlang sepanjang kejohanan kali ini apabila menumbangkan beberapa pemain utama dunia dalam laluannya ke separuh akhir termasuk pemain Indonesia, Tommy Sugiarto dan Yuqi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 6:42 PM