DAREN sedia pertimbangkan jika skuad negara memerlukan khidmatnya. -Foto  LUQMAN HAKIM ZUBIR
DAREN sedia pertimbangkan jika skuad negara memerlukan khidmatnya. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Helmi Talkah


PEMAIN perseorangan lelaki profesional, Liew Daren bersedia mengutamakan kepentingan negara berbanding komitmen dengan kelab jika namanya disenaraikan membawa cabaran Malaysia pada Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, bulan depan.

Bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu, berkata dia bersedia mempertimbangkan jika skuad negara memerlukan khidmatnya biarpun tarikh kejohanan berkenaan bertindih dengan pusingan akhir Purple League di Genting Highlands.

Kejohanan Berpasukan Asia akan berlangsung dari 6 hingga 12 Februari manakala Purple League bermula 8 hingga 11 Februari.

Daren mewakili Kelab Badminton (KB) Puchong United untuk saingan Purple League.

“Mungkin agak sukar kerana kedua-dua kejohanan berlangsung serentak tetapi saya sedia pertimbangkan. Namun, saya tidak mahu fikir sangat kerana setakat ini belum ada apa-apa daripada BAM.

“Jika betul-betul mereka mahu saya bermain, saya boleh pertimbangkan kembali,” kata Daren ketika ditemui selepas tewas di tangan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark pada aksi separuh akhir Malaysia Masters, hari ini.

Pada aksi di Arena Axiata itu, Daren yang muncul juara Terbuka Perancis 2012 dengan menewaskan lawan yang sama terpaksa akur apabila tewas 15-21, 11-21.

Nama Daren dan juara remaja Asia 2017, Leong Jun Hao disebut-sebut disenaraikan bagi menggantikan Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Soong Joo Ven selepas prestasi konsisten mereka dalam saingan awal tahun ini.

Ketika Iskandar dan Joo Ven bergelut dengan prestasi tidak menentu, Jun Hao mencuri tumpuan minggu lalu apabila muncul naib juara Thailand Masters manakala Daren berjaya mara ke separuh akhir termasuk dalam saingan Malaysia Masters yang sedang berlangsung ketika ini.

Iskandar dan Joo Ven pula ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama Malaysia Masters.

Walaupun senarai pemain sudah didaftarkan namun Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai memaklumkan pasukan masih boleh membuat pertukaran sehingga mesyuarat pengurus pasukan sehari sebelum kejohanan bermula.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan untuk menukar pemain atau tidak terletak di tangan ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek.

Misbun sebelum ini menyenaraikan Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia, Iskandar dan Joo Ven bagi menggalas cabaran acara perseorangan lelaki di Alor Setar yang juga pusingan kelayakan ke Piala Thomas 2018.

Mengulas lanjut, Daren berkata dia tidak kisah jika tidak disenaraikan tetapi sempat memberi nasihat kepada barisan pemain muda yang akan menggalas cabaran negara di Alor Setar.

“Saya fikir siapa yang disenaraikan adalah yang terbaik. Nasihat saya satu iaitu jangan memberi tekanan kepada diri sendiri. Kejohanan berpasukan berbeza dengan saingan individu, jadi mereka perlu lebih bersedia,” kata Daren yang membantu Malaysia muncul naib juara Piala Thomas 2014 di New Delhi, India.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 10:23 PM