ZII JIA akan meneruskan cabaran di Terbuka Switzerland. FOTO AP
ZII JIA akan meneruskan cabaran di Terbuka Switzerland. FOTO AP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas berjaya mara sehingga ke separuh akhir Seluruh England, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia seakan sedar bahawa dia hanya perlu sabar untuk bangkit semula mendapat rentak cemerlang seperti sebelum ini.

Menurut Zii Jia, apa yang perlu dilakukannya sekarang ialah terus menikmati setiap proses yang bakal diharungi dalam usaha menjadi pemain yang lebih baik.

"Kota Rom tidak dibina dalam sehari! Sudah tentu lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk mencapai prestasi yang lebih baik," kata pemain nombor empat dunia itu.

Ujar pemain kelahiran Kedah itu, dia sedar perlu bekerja lebih kuat selepas ini bagi meningkatkan tahap permainannya.

"Saya akan terus bersabar dan menikmati setiap proses yang akan saya depani," kata Zii Jia menerusi hantaran di Facebook miliknya, semalam.

Sabtu lalu Zii Jia terkandas di separuh akhir Seluruh England di Birmingham selepas tewas kepada pemain China, Shi Yuqi.

Kejayaan mara ke separuh akhir di Birmingham adalah yang terbaik buat Zii Jia musim ini selepas tewas pusingan awal dalam empat kejohanan terdahulu iaitu di Terbuka Malaysia, Terbuka India, Masters Indonesia dan Terbuka Jerman.

"Birmingham sentiasa menjadi tempat istimewa untuk saya, seronok dapat kembali ke arena yang hebat ini dengan kehadiran penonton yang luar biasa.

"Malangnya, mengakhiri saingan Seluruh England tahun ini di separuh akhir tetapi ia adalah perlawanan yang baik menentang lawan saya Yuqi.

"Tidak dilupakan, pelindung terkuat saya TeamLZJ (Pasukan Lee Zii Jia). Kita melakukan kerja yang hebat dalam tempoh beberapa bulan ini. Saya juga menghargai kepercayaan yang diberikan daripada penaja dan peminat," katanya.

Zii Jia akan meneruskan saingan musim ini dengan menyertai Terbuka Switzerland yang bermula esok.

Bagaimanapun, dia berdepan tugas mencabar apabila dijadual menentang juara Seluruh England yang baharu, Li Shi Feng dari China pada aksi pusingan pertama.

Zii Jia yang muncul juara Seluruh England 2021 berkata, dia berharap dapat mengekalkan tahap keyakinan yang sudah dibinanya di Birmingham dalam misi menghasilkan keputusan positif di Terbuka Switzerland.

"Saya perlu percaya, berjaya mara ke separuh akhir Seluruh England bukan disebabkan tuah sebaliknya ia hasil usaha saya. Jadi, saya perlu percaya dengan kemampuan diri saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 1:43 PM