AKHYAR Rashid. FOTO arkib NSTP
AKHYAR Rashid. FOTO arkib NSTP
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Berapa sekalipun klausa pelepasan diletakkan sesebuah pasukan kepada seseorang pemain, itu terpulang dan menjadi hak mutlak pasukan terbabit.

Itu penjelasan Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah ketika diminta mengulas mengenai nilai klausa pelepasan pemain muda negara, Akhyar Rashid yang diletakkan sebanyak RM12 juta oleh pasukan baharunya, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Meskipun nilai terbabit dianggap tidak masuk akal untuk pemain berusia 19 tahun, ejen berpengalaman itu menegaskan jumlah terbabit dilihat berbaloi dengan bakat dimiliki serta potensi yang boleh dikembangkan pemain sayap lincah terbabit.

"Kalau dinilai berdasarkan klausa pelepasan dan kontrak empat tahun, nilainya agak berpatutan. Sebagai majikan, JDT berhak meletakkan sebarang tanda harga dirasakan wajar untuk pemain apatah lagi pemain berbakat seperti Akhyar.

"Dengan nilai RM12 juta, mungkin JDT cuba menghantar isyarat kepada pasukan lain bahawa Akhyar bukanlah untuk dijual. Namun jika ada pasukan yang berminat dan ada RM12 juta, mereka boleh cuba berunding dengan JDT pula.

"Namun saya kira tiada pasukan di sini yang mampu mengeluarkan RM12 juta untuk mendapatkan seorang pemain. Apapun, mungkin ada pasukan dari luar yang berminat untuk melabur sebanyak itu," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Terdahulu, skuad Harimau Selatan itu sah mengikat pemain kebangsaan itu meskipun timbul isu di mana Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menegaskan pemain itu masih milik mereka.

Pengarah Sukan JDT, Martin Prest menerusi kenyataan di laman Johor Southern Tigers (JST) mengumumkan mereka menambah klausa pelepasan ke atas kontrak Akhyar yang ditandatangani untuk kontrak empat tahun.

"JDT berasa gembira menandatangani pemain berusia 19 tahun, Akhyar Rashid dengan kontrak empat tahun. JDT juga menambah klausa pelepasan perpindahan bernilai RM12 juta ke atas kontrak Akhyar," kata Prest.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 5:00 PM