EDEN HAZARD
EDEN HAZARD
Agensi

LONDON: Eden Hazard dilihat bakal meneruskan peranannya di posisi nombor sembilan meskipun mengakui lebih selesa beraksi di bahagian sayap menjelang kunjungan Chelsea ke Crystal Palace dalam saingan Liga Perdana Inggeris esok.

Bercakap mengenai perubahan posisi itu, pengurus Mourizio Sarri berkata: “Saya tidak melihat sebarang masalah untuk Hazard berada dalam posisi itu. Dia bermain empat perlawanan selaku nombor sembilan yang salah (posisi) tetapi dia menjaringkan tiga gol dan mencipta membantu dua jaringan.

“Sudah tentu saya sangat gembira dengan posisinya ketika ini kerana dia mampu melakukan penyudah selain membuka ruang buat rakan sepasukan.

“Jadi pada masa ini, saya sangat gembira dengan posisinya tetapi pada masa akan datang, sudah tentu dia boleh bermain di bahagian sayap.”

Sarri juga diajukan soalan mengenai masa depan Hazard di kelab dan mengakui mahu atau tidak, beliau harus berbincang dengan pemain itu.

“Saya tidak tahu tetapi saya fikir biar masa menentukannya,” kata Sarri. “Bukan, kerana saya tidak mempunyai kuasa untuk menentukannya. Saya seorang jurulatih, saya bukan presiden, saya tidak berkuasa mengenai pasaran. Saya jurulatih dan saya hanya mahu bercakap dengannya mengenai posisi di padang.

“Saya fikir, kita perlu menyelesaikan masalah ini sekiranya kami mahu merencana masa depan.”

Dalam pada itu, Pedro bakal diketepikan daripada perlawanan esok kerana penyerang Sepanyol itu mengalami kecederaan hamstring ketika The Blues menang 2-1 ke atas Watford pada aksi Boxing Day dan mungkin direhatkan untuk tempoh dua minggu.

Crystal Palace yang berada di bawah kendalian Roy Hodgson pernah mengecewakan Chelsea 2-1 di Selhurst Park musim lalu - kemenangan pertama mereka dalam kempen ketika itu - namun sedar keputusan itu tidak terlalu memberi impak kepada mereka kali ini.

“Memori indah itu sudah berlalu dan memenangi perlawanan tahun lalu jelas bukan sesuatu yang kamu boleh menang lagi tahun ini! Mereka bermain bagus dalam liga ketika ini dan akan menjadi sesuatu yang sukar buat kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 1:33 PM