UNAI EMERY
UNAI EMERY
Agensi

LONDON: Mauricio Pochettino boleh diibaratkan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Pep Guardiola dan Diego Simeone sebagai salah seorang pengurus terbaik di dunia, kata bos Arsenal, Unai Emery.

Skuad kendalian Emery, malam ini akan menanti kunjungan pasukan bimbingan Pochettino, Tottenham dalam aksi tetangga Utara London - perlawanan yang penting buat kedua-dua pasukan dalam pemburuan kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris.

Menjelang pertembungan berkenaan, Emery menghamburkan pujian kepada rakan sejawatnya itu dengan berkata pengurus dari Argentina itu sudah membuktikan kemampuannya dengan ramai anak didiknya kini dianggap antara terbaik dunia.

“Kariernya amat konsisten. Strukturnya dalam setiap pasukan amat jelas, dengan prestasi yang bagus,” kata Emery. 

“Dia sudah bekerja di Sepanyol, kemudian di sini dengan Southampton dan Tottenham, dengan pemain-pemain muda, dan setiap pemain muda yang bersamanya kebiasaannya menunjukkan peningkatan dan juga staf kejurulatihannya.

“Saya fikir dia layak, di sebabkan oleh kariernya dan boleh dianggap setaraf dengan jurulatih-jurulatih seperti Guardiola dan Simeone."

Begitupun hakikatnya, Pochettino, 46, masih menunggu untuk menjulang trofi pertamanya selaku jurulatih ketika pengurus Manchester City, Guardiola dan bos Atletico Madrid, Simeone sudah menikmati deretan kejayaan dalam karier mereka.

Pochettino sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid tetapi Emery merasakan beliau akan kekal di Spurs.

“Ketika ini saya fikir beliau gembira di Tottenham, dan dia meraih begitu banyak hormat di kelab itu,” katanya. “Saya tidak tahu apa yang akan terjadi. Setiap jurulatih tahu kerja mereka berdasarkan kepada keputusan dan pasukan apa kamu sedang latih.

“Beliau dihormati oleh ramai jurulatih di Liga Perdana dan melakukan tugasnya dengan baik di Tottenham.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 2:01 PM