TRIPPIER  beraksi lebih daripada 100 kali bersama Spurs. - FOTO  Agensi
TRIPPIER beraksi lebih daripada 100 kali bersama Spurs. - FOTO Agensi
Agensi

PERTAHANAN kanan Tottenham dan England, Kieran Trippier semakin hampir menjadi milik kelab Sepanyol, Atletico Madrid dengan nilai perpindahan £20 juta (RM102 juta).

Pemain berusia 28 tahun itu menyertai Spurs daripada Burnley pada Jun 2015 dan beraksi lebih 100 kali bersama kelab dengan kali terakhir tampil pada final Liga Juara-Juara, Jun lalu.

Dia kemudiannya mengakui tidak pasti hala tuju kontraknya bersama Spurs yang tamat 2022.

Trippier bakal menjadi pertahanan ketiga dibeli Atletico pada musim panas ini.

Jurulatih, Diego Simeone sudah pun menandatangani pertahanan tengah, Felipe daripada Porto pertahanan kiri, Renan Lodi daripada kelab Brazil, Athletico Paranaense.

Dengan penyerang Portugal, Joao Felix dibawa masuk dengan harga £113 juta (RM576 juta) dan pemain tengah, Marcos Llorente tiba dari Real dengan harga £36 juta (RM183 juta), kedatangan Trippier bermakna jumlah keseluruhan bajet perpindahan Atletico melepasi £170 (RM866 juta) juta.

Bagaimanapun, naib juara La Liga itu menerima £107.7 (RM549 juta) juta hasil penjualan penyerang prolifik Perancis, Antoine Griezmann ke Barcelona.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 7:15 AM