JURULATIH Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan. FOTO Danial Saad
JURULATIH Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan. FOTO Danial Saad
Nazri Abu Bakar


MELAKA: Jurulatih Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan bakal menguji barisannya dalam aksi persahabatan berdepan Selangor United di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam esok.     

Menurutnya, perlawanan sulung selepas diberi tugasan membimbing skuad Hang Tuah itu amat penting kepadanya untuk mengenal pasti keupayaan pemain dan corak permainan yang mahu diterapkan.  

Walaupun keputusan perlawanan bukan keutamaan, namun Zainal mahu anak buahnya menampilkan aksi bertenaga untuk menguasai permainan, merobek gawang lawan dan mempertahankan kubu.  

Katanya, beliau juga akan mencuba sekurang-kurangnya tiga pemain import, termasuk dua dari Serbia bagi mengisi posisi pertahanan, tengah dan serangan dalam aksi berkenaan.

"Masih terlalu awal mengenal pasti kesebelasan utama, namun perlawanan ini adalah ruang penting untuk pemain memperagakan aksi masing-masing.  

"Justeru, pemain perlu menterjemahkan corak permainan yang diserap ketika latihan untuk berdepan lawan yang juga bakal menampilkan pemain berwibawa," katanya.  

Barisan MU kali ini menarik perhatian ramai apabila disertai empat bekas kapten kebangsaan, termasuk Shukor Adan, Shafiq Rahim, Razman Roslan dan Khairul Fahmi Che Mat.  

Pemain lain yang turut membarisi skuad Hang Tuah termasuklah Raimi Md Noor, Nazrin Nawi, Wan Amirul Afiq Abdul Rahman, R Gopinathan, Nur Shamil Abdul Ghani, Oscar Wong Tse Yang (penjaga gol), Ahmad Khuzaimi Piee dan Saiful Riduwan Selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 3:50 PM