SERENA mahu anaknya berbangga dengan semangat juang yang ditunjukkan. -Foto Reuters
SERENA mahu anaknya berbangga dengan semangat juang yang ditunjukkan. -Foto Reuters
AFP

SERENA Williams menegaskan dia mahu anak perempuannya berbangga selepas bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menundukkan pemain Australia, Ashleigh Barty 3-6, 6-3, 6-4 sekali gus mara ke pusingan ketiga Terbuka Perancis.

Juara tiga kali dan bekas pemain nombor satu dunia itu sekali lagi mengenakan sut ketat serba hitamnya pada aksi Grand Slam pertamanya sejak memenangi Terbuka Australia 2017 ketika sedang hamil dua bulan.

Namun, dia hampir ‘bungkus awal’ di Paris sebelum memperagakan semangat juang yang tinggi seperti yang ditunjukkan ketika mengatasi masalah darah beku yang mengancam nyawanya selepas melahirkan Alexis Olympia Ohanian, September lalu.

“Ia begitu menakjubkan. Saya gembira kembali ke sini. Saya tewas set pertama jadi saya tahu saya perlu bekerja lebih keras dan akhirnya Serena muncul,” kata Williams.

“Saya akan kembali ke sini untuk aksi beregu bersama Venus. Tidak kira perseorangan mahupun beregu, saya akan berjuang habis-habisan.”

Dia turut mengakui anaknya menjadi inspirasi untuk terus memburu kemenangan dengan dia mensasarkan rekod sepanjang zaman Margaret Court yang berjaya meraih 24 gelaran Major.

“Ini Grand Slam pertama saya selepas kembali beraksi jadi saya mahu memberikan yang terbaik. Saya dapat memberitahu kepada anak saya satu hari nanti betapa saya sudah memberikan yang terbaik,” katanya.

Williams akan berdepan pemain Jerman Julia Goerges untuk merebut tempat ke kelompok 16 terbaik, Sabtu ini dan kemenangan menyaksikan dia akan bertemu seteru lama, Maria Sharapova bagi tiket ke suku akhir. 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 10:25 AM