PIYA (kiri) masih belum tentukan pasukan untuk musim depan. FOTO/NSTP
PIYA (kiri) masih belum tentukan pasukan untuk musim depan. FOTO/NSTP
Attirmidzie Rahman


KOTA BHARU: Bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya belum membuat keputusan sama ada akan menyarung jeris pasukan berstatus Liga Super atau Liga Premier bagi saingan musim depan.

Setakat ini, pemain kelahiran Kota Bharu ini belum menerima tawaran daripada mana-mana pasukan untuk kembali beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Piya, 36, mula menyarung jersi The Red Warrriors (TRW) sejak 2007 dan menjadi tonggak utama pasukan ketika menjulang Piala Malaysia pada musim 2010, Piala Sumbangsih (2011) dan Piala Liga Super (2012).

"Saya masih lagi menunggu tawaran pasukan yang berminat. Kontrak pemain akan tamat pada 18 November dan kebiasaannya, tawaran kontrak akan dibuat selepas tarikh itu.

"Saya juga masih sayangkan pasukan Kelantan kerana sudah serasi dengan TRW, namun keputusan berhijrah itu nanti diharap dapat meningkatkan lagi prestasi saya membantu mana-mana pasukan yang diwakili," katanya.

Piya berkata demikian ketika ditemui pada sidang media sempena perlawanan persahabatan Kelab Kapten Piya dengan Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Kelantan (PBPBK) di sini.

Perlawanan ini akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.

Mengulas khabar angin dia bakal berpindah ke Terengganu FC I (TFC I), Piya menafikan bakal menyarung jersi pasukan naib juara Piala Malaysia 2018 yang bergelar Peteh Terengganu Peteh itu. 

"Saya pun terkejut apabila diberitahu bakal berhijrah ke TFC I, kerana saya tidak dihubungi oleh pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

"Bukan sahaja TFC I, malah pasukan lain sama ada dari Liga Super dan Liga Perdana tidak menyatakan hasrat mendapatkan khidmat saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 8:19 PM