Roger Federer
Roger Federer

 

BASEL, Switzerland: Roger Federer bergelut mara ke separuh akhir kejohanan Dalam Dewan Switzerland awal pagi tadi apabila pilihan utama itu mengatasi kesilapan demi kesilapan sebelum menundukkan Gilles Simon 7-6 (7/1), 4-6, 6-4.

Federer tidak berada di kemuncak prestasinya sepanjang minggu di Basel dan dia memerlukan lebih dua setengah jam sebelum mengekang ancaman pemain veteran Perancis itu.

“Saya sentiasa gembira bila menang. Saya gembira saya berjuang seperti ini,” kata Federer.

“Banyak break, persembahan turun naik. Tapi saya tetap tenang dan melaksanakan tugas itu. Saya rasa lega sekarang.”

Pemain pilihan kesayangan penonton itu tidak pernah berasa selesa bertemu lawannya itu biarpun rekod pertemuan memihak kepadanya apabila menang enam pertemuan terakhir mereka.

Dia terpaksa bangkit dalam semua tiga set sebelum layak ke separuh akhir kali ke-14 pada kejohanan yang menyaksikan dia bermula sebagai pengutip bola.

Juara Grand Slam 20 kali itu perlu lebih tangkas pada separuh akhir menentang pemain muda dari Russia, Daniil Medvedev yang menewaskan Stefanos Tsitsipas 6-4, 3-6, 6-3. Kedua-dua pemain itu memenangi gelaran pada musim luruh ini.

“Ia pasti satu cabaran tapi saya teruja untuk melihat bagaimana saya menghadapinya esok, bermain menentang pemain muda,” kata Federer. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 11:14 AM