PEMAIN tenis Switzerland, Roger Federer. FOTO EPA
PEMAIN tenis Switzerland, Roger Federer. FOTO EPA
AFP

BASEL, Switzerland: Roger Federer kembali menemui sentuhannya apabila menewaskan Daniil Medvedev 6-1, 6-4 untuk mara ke perlawanan akhir kali ke-14 pada kejohanan Dalam Dewan Switzerland di kampung halamannya, Basel.

Selepas bergelut dalam dua perlawanan sebelum menang minggu ini dengan tiga set, Federer mempamerkan gaya sebenar seorang pemain yang bergelar juara Grand Slam 20 kali.

Dia mengetepikan lawan yang memenangi gelaran di Tokyo bulan lalu, mara ke perlawanan akhir ke-12 berturut-turut di sini selepas 64 minit.

“Ia kemenangan yang baik buat saya. Saya menilainya lapan daripada 10,” kata Federer. “Dia memberikan saingan sengit ketika di Shanghai sebelum ini.

“Saya berasa selesa di tengah gelanggang biarpun melakukan beberapa kesalahan.

“Dia beraksi hingga lewat malam semalam dan mungkin kakinya sedikit berat. Saya menggunakan pengalaman saya hari ini.”

Federer kini memburu gelaran kesembilan di kampung halamannya dan akan turun bertemu Marius Copil pada aksi final.

Pemain Romania yang menduduki ranking ke-93 dunia menjadi pemain kelayakan pertama mara ke final di Basel selepas lebih sedekad apabila mengejutkan pilihan kedua Alexander Zverev 6-3, 6-7 (6/8), 6-4.

“Saya masih belum percaya saya menang, ia minggu luar biasa buat saya,” kata Copil. “Apabila saya datang ke sini saya begelut untuk berada di kelompok 100 terbaik dunia.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 12:42 PM