ELINA SVITOLINA
ELINA SVITOLINA
AFP

SINGAPURA: Pemain nombor enam dunia, Elina Svitolina yakin dia sudah mengatasi isu kekuatan mental selepas persembahan mengagumkan pemain Ukraine itu pada Pusingan Akhir WTA, di sini.

Pemain berusia 24 tahun itu melayakkan diri ke separuh akhir selepas menewaskan juara bertahan Caroline Wozniacki 5-7, 7-5, 6-3 dalam masa dua jam 35 minit bagi menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan Putih.

Svitolina tersingkir awal pada penampilan sulungnya di Pusingan Akhir WTA tahun lalu tetapi tampil sebagai pemain berbeza kali ini apabila menewaskan pemain Republik Czech, Petra Kvitova dan Karolina Pliskova pada peringkat kumpulan.

Pemain itu mengalami musim yang berliku dengan tewas pada pusingan pertama Wimbledon selain berpisah dengan jurulatihnya Thierry Ascione. Dia juga berdepan kritikan selepas perubahan fizikalnya dan menjadi lebih kurus.

Svitolina percaya kepayahan yang dialaminya sebelum ini menjadikannya lebih kuat.

“Saya mengharungi bahagian kedua musim ini yang amat sukar,” katanya. “Dengan semua perkara terjadi dalam media sosial… dengan pendapat mengenai fizikal saya, ia bukanlah mudah.

“Bagi saya, menyertai kejohanan ini sangat penting bagi menguatkan semula mental saya. Di sini terbukti mental saya semakin kuat.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 12:02 PM