ELINA meraikan kemenangannya ke atas Arantxa sekali gus mara ke perlawanan akhir Terbuka Monterrey. FOTO AFP
ELINA meraikan kemenangannya ke atas Arantxa sekali gus mara ke perlawanan akhir Terbuka Monterrey. FOTO AFP
Reuters

PEMAIN pilihan utama, Elina Svitolina mara ke perlawanan akhir Terbuka Monterrey selepas menumpaskan Arantxa Rus 6-0, 6-1 dalam aksi separuh akhir di Mexico hari ini.

Elina dari Ukraine, yang tidak pernah tewas sebarang set dalam empat perlawanan, cuba untuk mengekalkan rekod apabila dia berdepan wakil Republik Czech, Marie Bouzkova.

Marie juga tidak pernah tumbang dalam sebarang set, selepas mengejutkan pilihan kedua dari Britain, Johanna Konta 6-3, 6-4.

“Ia perlawanan yang sangat menarik buat saya. Saya bermain dengan baik di bahagian garisan belakang dan juga melakukan servis sempurna,” kata Elina.

Dia yang meraih kejuaraan sebanyak 13 kali dalam jelajah WTA, berjaya mara ke separuh akhir Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu.

Sebelum itu, Marie meraih kemenangan dengan titisan air mata.

“Ia perasaan yang sangat luar biasa dan saya berasa seperti bermain di tempat sendiri. Saya rasa teruja dapat mara ke perlawanan akhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 3:21 PM