ELINA bahagia di sisi Monfils. FOTO Agensi
ELINA bahagia di sisi Monfils. FOTO Agensi
Agensi

London: Dua bintang tenis dunia, Elina Svitolina dan Gael Monfils mengumumkan pertunangan mereka di media sosial semalam. Pemain nombor lima dunia, Elina dan ranking ke-14, Monfils mulai rapat sejak 2018, menurut WTAtennis.com.

"Permulaan kepada kehidupan kami selamanya,'' kata pasangan itu dalam Instagram bersama mereka.

"Dia kata YA Madam MONFILS,'' balas Monfils dalam Twitter.

Bekas pemain nombor satu dunia, Caroline Wozniacki, Kim Clijsters dan Marcos Baghdatis antara selebriti sukan tenis yang mengucapkan tahniah kepada pasangan terbabit.

Sebelum ini, Elina berusia 26 tahun yang lahir di Odessa, Ukraine menyatakan bagaimana perhubungan mereka membantu dia lebih maju dalam permainan tenis.

"Saya kini lebih banyak berkomunikasi dengan jurulatih," kata Elina yang tewas pada separuh akhir Terbuka Miami di tangan Ash Barty minggu lalu.

"Saya lebih terbuka dengan jurulatih dan juga Gael mengenai tenis dan perasaan. Ia benar-benar berubah. Saya fikir mungkin sembilan, sepuluh bulan lalu,'' kata Elina yang meraih 15 gelaran WTA dan mengaut lebih $20 juta (RM82 juta) sepanjang kariernya.

"Saya suka dengan cara dia mengajar saya menjadi pemain lebih baik dan saya juga cuba memberi motivasi kepadanya untuk menjadi lelaki dan pemain yang lebih baik. Kami saling memberi sokongan sesama sendiri.''

Monfils pula yang berusia 34 tahun lahir di Paris meraih 10 gelaran Jelajah ATP dan mengaut hampir $20 juta sepanjang kariernya.

"Saya kagum apa yang dilakukan, cara dia gigih berusaha dan mentaliti dimilikinya," kata Monfils mengenai Elina. "Saya bangga apabila dia menang. Saya fikir dia juga begitu apabila saya menang.''

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 2:05 PM