HOWARD LEE
HOWARD LEE
Shaarani Ismail


IPOH: Laporan beberapa akhbar mengenai berlakunya masalah ketidakselesaan di tempat penginapan atlet hingga menjadi tular di media sosial adalah tidak berasas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee berkata, beliau sudah mengarahkan pegawai dan jawatankuasa penginapan Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA XIX) Perak 2018 untuk membuat pemeriksaan termasuk menemuramah beberapa atlet lain yang menginap di asrama penginapan berkenaan.

“Mereka menyatakan tidak ada sebarang masalah malah ada yang mengatakan mereka sangat selesa. Sebenarnya kebanyakannya (laporan) ini saya akan bentangkan (petang ini), kami ada rakaman dan percakapan dari atlet sendiri dan saya juga ingin memberitahu bahawa pejabat saya sudah pun berhubung dengan ketua kontinjen dan juga pengurus pasukan dan setakat ini memang tiada sebarang maklum balas negatif (mengenai penginapan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perkampungan Sukan SUKMA XIX Perak di Politeknik Ungku Omar, di sini, hari ini.

Howard mengulas laporan beberapa portal akhbar semalam yang mendakwa isu penginapan yang uzur di perkampungan sukan, SUKMA XIX Perak 2018 yang terus diperkatakan dalam kalangan kontinjen negeri yang bertanding.

Howard berkata, isu ketidakselesaan atlet itu juga tidak dibangkitkan ketika mesyuarat bersama ketua kontinjen yang dibuat semalam.

Mengenai tindakan beberapa kontinjen yang bertindak mencari hotel bajet dan rumah inap desa berikutan kemudahan yang kurang selesa, Howard berkata perkara itu terserah kepada kontinjen masing-masing.

“Ada yang telah memilih untuk menginap di hotel bila menghadapi masalah penginapan di Sekolah Izzuddin Shah sebelum ini dan masih ada juga yang masih menginap di homestay (inap desa).

“Tetapi sekiranya ada kontinjen yang berasakan sebahagian besar atlet mereka adalah atlet yang mungkin dianggap elit atau mungkin atlet luar biasa ia terserah, begitu juga jika ada atlet lain yang hendak menginap (di luar kawasan penginapan) sebab ada alasan lain, itu juga terserah kepada mereka,” katanya.

Katanya, beliau juga akan akan mengadakan satu sidang media khas di Pusat Media, Jabatan Belia dan Sukan Perak jam 3.30 petang ini bagi menjelaskan keadaan yang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 12:53 PM