ROGER FEDERER
ROGER FEDERER
AFP

BASEL: Roger Federer dipaksa bekerja keras sebelum mengenepikan pemain Serbia, Filip Krajinovic 6-2, 4-6, 6-4 untuk mara ke pusingan kedua Swiss Indoors, awal pagi tadi.

Juara lapan kali itu seperti hampir untuk mengulangi penyingkiran terawal di Basel pada 1998 dalam aksi sulungnya namun mampu keluar daripada situasi mendebarkan itu.

“Saya berada di depan 6-2, 3-1, ia boleh dimuktamadkan dengan lebih cepat lagi,” kata Federer. “Namun saya membuatkannya menjadi lebih sukar.

“Saya tidak melakukan statistik servis terbaik, mungkin ia memerangkap saya.

“Apapun, ini adalah perlawanan lain, lebih altitud berbanding di Shanghai, ia mengenai bagaimana kamu menyesuaikan keadaan.

“Dan pusingan pertama sentiasa rumit, tidak pernah sesekali yang kamu akan diberikan kemenangan mudah.”

Terdahulu, Jan-Lennard Struff mengenepikan pemain Australia John Millman 7-6 (7/3), 6-2 dan dijadual bertemu Federer, selepas ini.

“Saya bersyukur kerana mara. Ini perlawanan yang kamu harus menang,” kata Federer. “Perlawanan tidak berlangsung seperti dirancang, tetapi ia kemenangan yang sukar.

“Saya berasa baik secara fizikalnya. Saya mempunyai rehat selama sehari dan ia bukan satu masalah untuk bermain tiga set. Saya gembira dengan di mana saya berada ketika ini.”

Federer yang berusia 37 tahun sebelum ini mendedahkan dia bergelut dengan kecederaan tangan sejak bermula musim gelanggang rumput dan kali terakhir tewas di kejohanan Swiss Indoors pada 2013 di tangan Juan Martin del Potro.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 7:25 AM