STEFANOS TSITSIPAS
STEFANOS TSITSIPAS
AFP

BASEL: Stefanos Tsitsipas meneruskan momentum dari kejuaraan sulungnya di ATP minggu lalu apabila mara ke pusingan kedua Swiss Indoors dengan mencatat kemenangan 6-2, 7-6 (7/3) ke atas Jeremy Chardy.

Tsitsipas yang muncul pemain Greece pertama menjulang trofi ATP ketika menewaskan Ernests Gulbis di Stockholm, Ahad lalu meraih kemenangan ke-40 musim ini dengan menyingkirkan rakan latihannya sebelum ini, Chardy.

“Ia satu kemenangan yang baik untuk saya hari ini, saya gembira dengan prestasi saya,” kata Tsitsipas, pemain yang berada di ranking ke-16 dunia itu.

“Sukar untuk kembali selepas meraih gelaran minggu lalu. Tetapi saya gembira dengan apa yang akan muncul nanti.”

Tsitsipas juga berjaya membalas kekecewaannya di tangan Chardy ketika di Montpellier, Februari lalu.

Sementara itu, pilihan kedua Alexander Zverev melebarkan status pendahulu jelajah dengan kemenangan ke-50 bagi musim ini apabila menewaskan Robin Haase, 6-4, 7-5.

Zverev selepas ini dijadual bertemu pemain Australia, Alexei Popyrin di pusingan kedua.

Dalam pada itu, juara 2016 dan juga pilihan ketiga, Marin Cilic tewas di tangan pemain Romania, Marius Copil 7-5, 7-6 (7/2) pada perlawanan pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 11:10 AM