AFP

BASEL: Roger Federer (gambar) meneruskan pemburuan gelaran kelapan kejohanan tenis dalam dewan Swiss Indoors apabila mara ke suku akhir buat kali ke-15 dengan membenam pemain Perancis Benoit Paire 6-1, 6-3, awal pagi tadi.

Federer mengalahkan Paire buat kali kelima tanpa kehilangan set, selepas mengetepikan cabaran lawan dalam tempoh 57 minit di St Jakobshalle.

Jaguh berusia 36 tahun itu, yang juga pemenang Shanghai Masters bulan ini, sedang memburu gelaran ATP ketujuh musim ini dengan dia menyasarkan mara ke pentas final di gelanggang kampung halamannya.

“Saya gembira dengan prestasi setakat ini, saya sentiasa bersedia untuk cabaran lebih sukar,” kata Federer. “Saya melalui permulaan baik.

“Saya berupaya memberikan lebih tekanan kepadanya, berbanding dia. Saya mempunyai dua pusingan pertama yang bagus walaupun diundi bertemu lawan yang sukar. Secara jujurnya, saya agak terkejut.”

Bintang nombor dua dunia itu seterusnya akan berdepan pilihan ketujuh dari Perancis, Adrian Mannarino yang bangkit menumpaskan pemain Kanada, Denis Shapovalov 4-6, 6-1, 6-2.

Juara bertahan, Marin Cilic pula menjinakkan rakan senegara dari Croatia, Borna Coric 6-3, 3-6, 6-3 dalam tempoh dua jam untuk melebarkan jurang kemenangan 5-0 ke atas lawannya itu.

Pilihan keempat, Juan Martin del Potro pula semakin hampir dengan slot ke ATP Final, bulan depan hasil kejayaan menundukkan pemain kelayakan dari Perancis, Julien Benneteau 6-4, 6-4.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 11:27 AM