STAN WAWRINKA
STAN WAWRINKA
AFP

BASEL, Switzerland: Kecederaan belakang dialami ketika sesi latihan bersama rakan senegara Roger Federer, Ahad lalu memaksa Stan Wawrinka menarik diri daripada Kejohanan Swiss Indoors manakala Marin Cilic mara ke pusingan kedua di sini, awal pagi tadi.

“Saya memusingkan badan dan menarik diri satu-satunya keputusan yang boleh dilakukan,” kata juara tiga kali Grand Slam itu dengan menambah dia akan menamatkan musimnya dengan lebih awal dan tidak menyertai Paris Masters, minggu depan.

Pengunduran Wawrinka yang bertarung dengan kecergasan selepas lebih daripada setahun menjalani dua pembedahan lutut, muncul selepas Federer turut mengakui mengalami kecederaan.

Federer mendedahkan pada awal permulaan saingan di St Jakobshalle yang dia cedera tangan sejak musim panas lalu namun juara 20 kali Grand Slam itu menegaskan, dia kembali cergas ketika ini.

Federer kini sedang memburu gelaran kesembilan pada kejohanan yang mengimbau pembabitan awalnya dalam sukan itu sebagai ‘budak bola’.

Dia dijadual memulakan saingannya menentang pemain Serbia, Filip Krajinovic.

Sementara itu, juara 2016 Cilic mengenepikan bintang Kanada yang sedang meningkat naik, Denis Shapovalov untuk mara ke pusingan kedua.

Naib juara Terbuka Australia itu salah seorang daripada dua bekas juara yang berada dalam undian selain Federer dan dia menewaskan Shapovalov 6-4, 6-2.

Pemain yang berada di tangga keenam dunia itu dijadual bertemu Marius Copil dari Romania selepas lawannya menewaskan Ryan Harrison (Amerika Syarikat), 6-2, 7-6 (10/8).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 7:35 AM