LAMELA (kiri) jaring gol tunggal perlawanan. -Foto Reuters
LAMELA (kiri) jaring gol tunggal perlawanan. -Foto Reuters

LONDON: Erik Lamela membawa Tottenham ke kelompok empat teratas Liga Perdana ketika pemain sayap itu meledak jaringan kemenangan 1-0 berdepan pencabar dari London, West Ham sebentar tadi.

Lamela menanduk dengan tenang pada lewat babak pertama di Stadium London bagi memberikan Tottenham kemenangan keempat berturut-turut dalam liga.

Ia menjadikan lima gol dalam hanya lapan penampilan musim ini buat Lamela, yang hanya membuat kemunculan kedua dalam kesebelasan utama sejak permulaan kempen.

Lamela boleh dimasukkan lebih kerap selepas persembahan baik ditunjukkannya yang menunjukkan peningkatan sejak kembali selepas lebih setahun mengalami kecederaan yang memerlukan kedua-dua pinggangnya dibedah.

Persembahan baik Lamela dan pertahanan kental menyebabkan skuad kendalian Mauricio Pochettino boleh meraikan kemenangan kelima berturut-turut dalam pertembungan tetangga London pertama kali sejak Januari 1961.

Ia adalah pemanas badan sempurna menjelang pertembungan penting Liga Juara-Juara ke PSV Eindhoven minggu depan dan saingan Liga Perdana menentang juara bertahan, Manchester City beberapa hari selepas itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 12:50 AM