LAMELA ledak gol kemenangan Sevilla untuk menewaskan Juventus. -FOTO Reuters
LAMELA ledak gol kemenangan Sevilla untuk menewaskan Juventus. -FOTO Reuters
AFP

Seville, Sepanyol: Erik Lamela membawa Sevilla ke final Liga Europa sekali lagi selepas melakar kemenangan 2-1 menewaskan Juventus untuk mengesahkan kemenangan dengan agregat 3-2.

Lamela menanduk masuk gol tuan rumah pada masa tambahan untuk melengkapkan kebangkitan mengagumkan buat pemenang rekod enam kali pertandingan itu dan akan berdepan Roma yang dikendalikan Jose Mourinho di Budapest pada 31 Mei selepas mereka mengetepikan Bayer Leverkusen.

Dusan Vlahovic meletakkan Juventus di depan pada separuh masa kedua, dua minit selepas masuk sebagai pemain gantian, tetapi Suso meledak gol dari luar kawasan untuk membawa permainan ke masa tambahan.

Lamela menanduk hantaran lintang Bryan Gil pada minit ke-95 untuk menggembirakan penyokong di Ramon Sanchez-Pizjuan dan Sevilla terus bertahan untuk mara ke final buat pertama kali sejak tahun 2020.

"Banyak perkara yang terlintas di kepala saya, saat-saat baik, saat-saat buruk. Ia adalah detik yang unik," kata Lamela.

"Sekarang kita sudah selangkah lagi, ia satu peluang yang bagus. Ia adalah malam yang saya akan ingat selama-lamanya, ia adalah sesuatu yang luar biasa untuk bermain di sini, di hadapan semua peminat ini."

Juventus gagal menempah pertemuan membabitkan pasukan dari Itali menentang Roma, tetapi Itali masih mempunyai satu lagi wakil dalam setiap tiga perlawanan akhir Eropah.

Inter Milan akan beraksi di perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Manchester City selepas menewaskan AC Milan manakala pada hari Khamis Fiorentina menewaskan Basel untuk mara ke final Liga Persidangan di mana mereka akan menentang West Ham.

Kekalahan di pentas Eropah cukup membimbangkan Juventus, yang kini di tangga kedua Serie A tetapi berdepan pemotongan mata yang akan menyingkirkan mereka daripada kelompok empat teratas.

Hanya dengan menjuarai Liga Europa akan memastikan tempat buat mereka di Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 7:59 AM