ERIK LAMELA
ERIK LAMELA
AFP

LONDON: Erik Lamela sedang bersaing untuk meyakinkan pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino bahawa dia lebih ‘bernilai’ berbanding diletakkan di bangku simpanan menjelang saingan minggu ini.

Tottenham akan berkunjung ke Huddersfield esok untuk saingan Liga Perdana Inggeris dan kemudian melayan kunjungan Barcelona pada saingan Liga Juara-Juara, Rabu ini.

Dengan Tottenham sudah ketinggalan enam mata di belakang pendahulu liga, Liverpool dan memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan kekalahan di tangan Inter Milan, Pochettino pastinya hanya akan memilih yang terbaik berbanding sebelumnya.

Christian Eriksen yang masih berdepan masalah abdominal tidak akan berkunjung ke Yorkshire sekali gus memberi peluang kepada Lamela untuk berada dalam kesebelasan utama di Stadium John Smith.

Bagaimanapun bintang Denmark, Eriksen mungkin mampu pulih sepenuhnya menjelang pertemuan dengan Barcelona sekali gus Lamela perlu memanfaatkan peluang sebaik-baiknya jika dia diturunkan apabila bertemu Huddersfield.

Lamela berada pada prestasi terbaik musim ini jika mengambil kira jumlah jaringan yang sudah disumbangkan olehnya.

Dia sudah beraksi lima perlawanan musim ini dan menjaringkan tiga gol - ketika bertemu Liverpool dan Brighton pada saingan liga serta terbaru ketika bertemu Watford pada Piala Liga.

Bagaimanapun pemain berusia 26 tahun itu hanya berada dalam kesebelasan utama sebanyak dua kali.

“Sudah tentu anda sentiasa berharap pemain seperti Lamela memberi impak apabila diturunkan. Bagi saya ia sesuatu yang normal apabila dia dapat menjaringkan gol dan beraksi dengan baik,” kata Pochettino

Ini adalah musim kelima Lamela bersama Tottenham sejak dibeli pada tahun 2013 oleh bekas pengurus Andre Villas-Boas.

Dia berdepan pelbagai rintangan seperti kecederaan dan masalah keluarga, dan kembali beraksi November tahun lalu dengan melakukan 33 penampilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 12:34 PM