ATLET Pelumba Basikal negara Muhammad Khairul Adha Rasol (kanan) dan Muhammad Afiq Afify Rizan menunjukkan pingat emas yang dimenangi mereka dalam acara akhir Kilo kategori lelaki B sempena Temasya Sukan Para Asia 2018 di Stadium Velodrome Antarabangsa. FOTO Bernama
ATLET Pelumba Basikal negara Muhammad Khairul Adha Rasol (kanan) dan Muhammad Afiq Afify Rizan menunjukkan pingat emas yang dimenangi mereka dalam acara akhir Kilo kategori lelaki B sempena Temasya Sukan Para Asia 2018 di Stadium Velodrome Antarabangsa. FOTO Bernama
Haika Khazi

 

KUALA LUMPUR: Pelumba basikal cacat penglihatan, Afiq Afify Rizan dan jurumudi Khairul Adha Rasol menghadiahkan pingat emas ke-17 Malaysia menerusi acara ujian masa satu kilometer (1KM) tandem lelaki B di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Indonesia, hari ini.

Mereka menang emas selepas mencatat masa 1 minit 03.942 saat, sekali gus menewaskan rakan senegara Aiman Asyraf Ahmad Bajuri dan jurumudi Mohd Faizal Mohamed Noh (1:05.240s) untuk perak manakala pelumba Korea Selatan, Kim Jungbeen gangsa dengan catatan 1:06.184s.

"Saya rasa puas hati dapat memperbaharui rekod Asia pertama yang sememangnya dinantikan selama ini. Alhamdulillah saya juga berjaya menghadiahkan pingat emas ke-17 untuk Malaysia.

"Justeru saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, ahli keluarga, jurulatih dan rakan sepasukan kerana banyak membantu dan terus memberi sokongan serta semangat kepada saya selama ini," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Sementara itu, pelumba basikal buta, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dan jurumudi Nurul Shuhada Zainal, mencatat sejarah tersendiri apabila meraih pingat emas ketiga selepas menang acara ujian masa 1KM tandem wanita B.

Mereka mencatat masa 1:16.839s untuk meninggalkan pemenang perak dari Indonesia, Sri Sugiyanti (1:17.717s) dan rakan senegara, Nur Syahida Tajudin dan jurumudi, Nur Rozi Yanti Mat Rodzi (1:18.795) untuk gangsa.

Sebelum ini Nur Azlia dan Shuhada meraih dua pingat emas menerusi acara lebuh raya tandem dan kejar mengejar individu 3,000 meter (3KM) Wanita B pada 9 dan 11 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 8:50 PM