PELUMBA paracycling negara, Muhammad Afiq Afify dan Muhammad Khairul Adha memenangi emas dalam acara pecut tandem di Velodrom Nasional Nilai, sebentar tadi. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
PELUMBA paracycling negara, Muhammad Afiq Afify dan Muhammad Khairul Adha memenangi emas dalam acara pecut tandem di Velodrom Nasional Nilai, sebentar tadi. - Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Azlan Muhammad Zain


SKUAD paracycling negara cemerlang apabila meraih dua pingat emas menerusi acara pecut tandem pada edisi ketujuh Kejohanan Para Asia 2018 di Velodrom Nasional, sebentar tadi.   

Gandingan atlet paracycling,  Muhammad Afiq Afify Rizan bersama pelumba pilot, Muhammad Khairul Adha Rasol meraih emas pertama apabila menewaskan rakan senegara, Aiman Asyraff Ahmad Bajuri dan pelumba pilot, Mohd Faizal Mohamed Noh dengan keputusan 2-0 selepas memenangi dua siri perlumbaan.   

Mereka memenangi perlumbaan pertama dengan masa 10.659 saat (s) disusuli perlumbaan kedua 10.833s.   

"Kejayaan ini memberikan suntikan semangat untuk saya terus cemerlang pada Kejohanan Para Dunia dan Sukan Komanwel selepas ini.   

"Malah terdapat peningkatan dalam segi catatan masa. Ia sesuatu yang positif dan memberikan keyakinan," jelas Afiq Afify.   

Emas kedua hadir menerusi gandingan Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais dan pelumba pilot, Noraidillina Adilla J. Sam turut menewaskan rakan senegara, Nur Syahida Tajudin dan Nurul Suhada Zainal di final dengan keputusan yang sama.   

"Ia permulaan yang bagus kepada kami terutamanya dalam menghadapi Sukan Para Asia pada Ogos nanti," jelas pemenang empat emas Sukan Para ASEAN 2017 itu.   

Malaysia turut meraih enam perak dan tiga gangsa dalam beberapa acara lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2018 @ 10:33 PM