MOHAMMAD Izad (baju merah) jelaskan keputusannya untuk berehat hanya untuk sementara.
MOHAMMAD Izad (baju merah) jelaskan keputusannya untuk berehat hanya untuk sementara.
Saiful Affendy Sapran


KUALA LUMPUR: Pertahanan skuad hoki negara, Mohammad Izad Hakimi Jamaluddin menegaskan keputusannya untuk berehat daripada menyertai skuad kebangsaan hanyalah bersifat sementara.

Jelas Izad, dia sedia untuk kembali bersama Malaysian Tigers apabila tiba masa yang sesuai andai diperlukan oleh pengurusan skuad negara.

Izad mengambil keputusan untuk berehat seketika berikutan masalah peribadi selain ingin mencari semangat untuk beraksi semula selepas hampir 10 bulan tidak bersama skuad kebangsaan kerana mengalami kecederaan posterior cruciate ligament (PCL) di lutut kanan yang dialami ketika saingan Liga Hoki Malaysia (LHM), Januari lalu.

Bagaimanapun dia kini sudah bebas daripada sebarang kecederaan.

“Saya sudah pun menghantar surat kepada MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) untuk berehat seketika dengan tidak menyatakan tempoh berapa lama ingin berehat.

“Saya ambil keputusan ini kerana berasakan belum bersedia untuk kembali bersama skuad negara.

“Mungkin sebab sudah terlalu lama berehat berikutan kecederaan. Tak guna kalau saya menyertai skuad negara jika hati saya tidak ada dalam pasukan,” katanya.

Jelas Izad, dia tidak menyimpan hasrat untuk terus bersara kerana berasakan masih mampu memberi sumbangan kepada Malaysia.

“Kes saya ini bukanlah seperti pemain yang ingin terus bersara,” katanya.

Izad sering menjadi tonggak utama skuad negara sebelum ini dengan antara pencapaian terbaiknya adalah membantu skuad remaja negara meraih penamat keempat pada Piala Dunia Remaja 2013.

Pemain kelahiran Trolak, Perak itu juga pernah beraksi di Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda bersama pasukan senior.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 2:53 PM