CARLO ANCELOTTI
CARLO ANCELOTTI
AFP

NAPLES: Sudah empat bulan Carlo Ancelotti tiba Napoli selepas pemergian Maurizio Sarri ke Chelsea dengan impian mengembalikan semula era kegemilangan kelab dari selatan Itali itu sekali gus menamatkan kemarau trofi liga selama tiga dekad.

Kehadiran bekas jurulatih AC Milan dan Chelsea itu dianggap pemilik kelab Aurelio De Laurentiis sebagai permulaan era baru di Stadium San Paolo.

Di bawah kendalian Sarri, Napoli hampir mengetepikan Juventus di puncak liga dengan 91 mata musim lalu.

Ancelotti yang memiliki deretan trofi dalam kabinet apabila menjuarai lima liga utama Eropah berjanji tiada revolusi sebaliknya mempertajamkan sentuhan penyudah pasukan bagi mencapai impian penyokong mereka.

Tetapi selepas tujuh perlawanan Serie A, skuad Ancelotti ketinggalan enam mata di belakang Juventus yang semakin gagah dengan kehadiran Cristiano Ronaldo.

Ancelotti yang berjanji tetap menurunkan skuad utama dalam cabaran Liga Juara-Juara walaupun lebih mengutamakan Scudetto gagal menampilkan aksi cemerlang apabila sekadar seri tanpa jaringan ketika menentang Red Star Belgrade di tempat lawan.

Juara tiga kali Liga Juara-Juara itu itu akan menerima kunjungan Liverpool kendalian Jurgen Klopp pada awal Khamis ini dalam aksi Kumpulan C di San Paolo dalam misi perlu menang selain perlu menghadapi Paris Saint-Germain.

Kekalahan 3-1 kepada Juventus di Turin minggu lalu memusnahkan impian Napoli untuk meraih trofi ketiga sejak Diego Maradona pada 1990.

"Kekalahan boleh berlaku, Juventus boleh kalah kepada Napoli, kami perlu terus perbaiki persembahan dan saya yakin kami akan terus kompetitif sehingga tamat musim,” kata Ancelotti.

Napoli kini tewas dua perlawanan liga selepas kalah kepada Sampdoria 3-0 dalam aksi ketiga musim ini.

Bagaimanapun, Ancelotti yang kali terakhir menjulang trofi liga bersama Bayern Munich pada 2017 tetap yakin akan menemui formula terbaik untuk memulihkan kembali keyakinan peminat.

“Kesabaran dan semangat kelab ini serta kesetiaan penyokong akan berhasil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 7:01 PM