PEMAIN Torino, Tomas Rincon (tengah) mengawal bola ketika menentang Napoli di Naples. - FOTO  AFP
PEMAIN Torino, Tomas Rincon (tengah) mengawal bola ketika menentang Napoli di Naples. - FOTO AFP
AFP

HARAPAN Napoli bergelar juara makin tipis selepas skuad Carlo Ancelotti hanya mampu seri tanpa jaringan menentang Torino di tempat sendiri, awal pagi tadi.

Keputusan seri itu yang ketiga dalam empat aksi terakhir liga dan kini mereka 13 mata di belakang juara bertahan, Juventus.

Napoli seri menentang AC Milan di tempat sendiri dua minggu lalu dan Fiorentina di tempat lawan. Juventus menunggu mereka dalam aksi dua pasukan teratas pada 3 Mac namun impian gelaran Serie A tampak mustahil buat Napoli.

Juventus kini makin hampir menjulang kejuaraan kali kelapan berturut-turut selepas Cristiano Ronaldo membantu kemenangan 3-0 ke atas pasukan corot Frosinone, semalam.

"Kami fokus, beraksi dengan motivasi, kesungguhan tetapi sukar diterima apabila mempunyai 18 peluang dalam dua perlawanan namun semuanya gagal menghasilkan gol,” kata Ancelotti kepada Sky Sport Italia.

Ketumpulan jentera serangan Napoli terbukti di Stadium San Paolo apabila Arkadiusz Milik terlepas beberapa peluang dengan percubaan Lorenzo Insigne terkena tiang pada minit ke-74.

Pertahanan, Ola Ain yang dipinjam daripada Chelsea turut mengancam kubu Torino pada minit akhir perlawanan namun digagalkan pemain Brazil, Allan sekali gus membolehkan skuad Walter Mazzarri berada di kedudukan kesembilan, tiga mata di atas slot Liga Europa.

Sementara itu, Radja Nainggolan muncul wira Inter Milan apabila menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Sampdoria 2-1 di San Siro untuk mengukuhkan cengkaman di tangga ketiga. Harapan Lazio mengintai slot Liga Juara-Juara turut terjejas selepas tewas kepada Genoa 2-1 di tempat lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 8:05 AM