DANILO (tengah) ketika meledakkan gol kemenangan Inter. FOTO/EPA
DANILO (tengah) ketika meledakkan gol kemenangan Inter. FOTO/EPA
Reuters

MILAN: Inter Milan bangkit daripada aksi tidak menentu dalam kempen Serie A musim ini dengan meraih kemenangan penting 2-1 ke atas Fiorentina, mata penuh ketiga diraih musim ini.

Tonggak pertahanan, Danilo D'Ambrosio muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-77 selepas Inter mendahului menerusi tendangan penalti Mauro Icardi (m-45) sebelum pelawat mengikat kedudukan hasil kesilapan Milan Skriniar yang menjaringkan gol sendiri di awal babak kedua. 

Menerusi kemenangan itu, Inter kini mengumpul 10 mata selepas menempuh enam aksi liga yang menyaksikan skuad kendalian Luciano Spalletti tewas mengejut di tangan Sassuolo dan Parma sebelum ini.

Kebangkitan Inter sebenarnya bermula pada aksi Liga Juara-Juara Eropah minggu lalu apabila wakil Itali itu berjaya menundukkan kelab England, Tottenham Hotspur 2-1 dalam Kumpulan B.

Dalam aksi sengit yang berlangsung di San Siro itu, pemain sayap pelawat Kevin Mirallas terlebih dulu menguji kubu tuan rumah, namun kesilapan tonggak pertahanan Vitor Hugo yang tertampan bola menggunakan tangan akhirnya dihukum dengan Icardi mudah menyempurnakan sepakan penalti itu.

Bagaimanapun, defisit itu berjaya dipadam enam minit selepas babak kedua bersambung menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti yang membias mengenai Skriniar sebelum D’Ambrosio tampil menyelamatkan maruah tuan rumah dengan gol kedua.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 10:40 AM