Penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez menjaringkan gol kedua pasukannya. FOTO AFP
Penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez menjaringkan gol kedua pasukannya. FOTO AFP
AFP

INTER Milan mengatasi Napoli 2-0 untuk mengekalkan kedudukan di tempat kedua Serie A sekali gus mendahului Atalanta yang bangkit membenam Parma pada perlawanan awal pagi ini.

Juventus sudah mengesahkan kejuaraan liga buat kali kesembilan tetapi tiga pasukan bersaing merebut tempat kedua - Inter Milan, Atalanta dan Lazio - ketika menuju perlawanan terakhir di Itali.

Skuad Inter kendalian Antonio Conte mendahului satu mata daripada Atalanta apabila kedua-dua pasukan akan bertembung dalam perlawanan terakhir liga musim ini pada awal pagi Ahad ini.

Lazio di kedudukan keempat akan bertemu Brescia awal pagi esok, ketika skuad kendalian Simone Inzaghi masih mempunyai peluang untuk menamatkan saingan di tempat kedua dengan aksi terakhir berdepan Napoli pada hujung minggu ini.

Danilo D'Ambrosio meletakkan Inter di depan 11 minit selepas permainan bermula sebelum Lautaro Martinez menambah jaringan 15 sebelum tamat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 7:47 AM