D’AMBROSIO (tengah) diasak pemain Bologna.
D’AMBROSIO (tengah) diasak pemain Bologna.

Milan: Inter Milan menewaskan Bologna 2-1 untuk mengatasi Fiorentina di tangga keempat Serie A dengan satu mata semalam dan mengekalkan sasaran mereka untuk tiket terakhir Liga Juara-Juara.

Bologna menjadi satu-satunya pasukan Serie A yang tidak bolos daripada sepakan sudut musim ini namun dalam perlawanan itu ia berlaku dua kali dalam tempoh empat minit.

Danilo D’Ambrosio menanduk sepakan sudut ke arah gol sebelum disambut Ivan Perisic yang menanduk masuk untuk memberikan Inter pendahuluan pada minit ke-72.

D’Ambrosio kemudian melakuan voli untuk gol kedua sebelum pemain gantian Franco Brienza menjaringkan gol sagu hati pada minit terakhir.

Percubaan Adam Ljajic pada separuh masa pertama buat Inter turut terkena palang.

Fiorentina menentang Hellas Verona hari ini manakala pasukan tangga ketiga Roma, dua mata mengatasi Inter berkunjung ke Udinese. Inter berkunjung ke Roma untuk perlawanan penting hujung minggu depan.

Inter bakal kehilangan kapten Mauro Icardi yang terhincut-hincut pada minit kesembilan apabila lututnya cedera sewaktu meluncur untuk menolak bola yang cuba dirembat Eder.

Rakan penyerang Rodrigo Palacio juga bakal terlepas perlawanan itu berikutan penggantungan selepas menerima kad kuning kelima kerana melengahkan perlawanan.

“Bahagian serangan merisaukan saya sekarang,” kata pengurus Inter Roberto Mancini said.

“Adalah penting untuk menang hari ini tapi masih banyak mata untuk direbut, apa saja boleh berlaku sehingga akhir musim.” - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 7:26 AM